ALOR GAJAH: Kementerian Digital sedang membincangkan langkah untuk membuka pusat latihan Kepimpinan Digital Eksekutif (EDP) ke peringkat negeri bagi mempermudah latihan kepada peserta berminat.
Menterinya Gobind Singh Deo berkata setakat ini, pusat latihan berkenaan hanya berada di Kuala Lumpur dan menyukarkan peserta yang perlu menjalani latihan selama tiga bulan sejak program berkenaan diperkenalkan kira-kira tiga tahun lepas.
Advertisement
"Program EDP ini memberi fokus melatih peserta menggunakan kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan prestasi sesuatu bidang pekerjaan dengan menggunakan data untuk membuat analisis.
"Sebagai contoh, jika seorang guru menyertai program ini, dia akan dapat melihat potensi pelajarnya berasaskan data dan dapat membuat keputusan lebih tepat mengenai hala tuju pelajarnya pada masa depan," katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas menghadiri Simposium Kepimpinan Digital Guru Besar Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Malaysia ke Arah Reformasi Pendidikan MADANI 2026 di Simpang Ampat di sini hari ini.
Simposium tiga hari bermula semalam itu turut disertai kira-kira 470 guru besar dari Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil seluruh negara.
Beliau berkata program berkenaan diberikan secara percuma kepada mana-mana penjawat awam dengan Gred 13 bagi penjawat awam Persekutuan dan Gred 12 bagi penjawat awam negeri, manakala bagi pekerja swasta pula akan diberikan imbuhan memandangkan kementerian itu menaja sebanyak RM25,000 bagi setiap peserta.
Program berkenaan kini memasuki kohort ke-11 dengan setiap kohort mempunyai sebanyak 50 peserta.
Mana-mana individu yang berminat menyertai program berkenaan boleh layari laman web Kementerian Digital menerusi https://www.digital.gov.my/.
-- BERNAMA