Skip to main content

Malaysia

Kementerian Digital perkukuh keupayaan AI sektor awam melalui kerjasama strategik AWS

61684827673_TBartificialintelli.jpg
Menurut Kementerian Digital, program itu antara lain tertumpu dalam memperkukuh keupayaan dasar bagi menyokong pembuatan keputusan yang lebih mantap dan berasaskan data. - Gambar fail

PUTRAJAYA: Malaysia terus memperkukuh agenda “Kerajaan Diperkasa AI” menerusi kerjasama strategik antara Kementerian Digital dan Amazon Web Services (AWS) bagi meningkatkan keupayaan kecerdasan buatan (AI) dalam sektor awam dan memperkasa penjawat awam melalui automasi pintar.

Inisiatif yang dilaksanakan melalui Pejabat Kecerdasan Buatan Nasional (NAIO) bersama AWS AI Academy itu, menyokong aspirasi Pelan Tindakan AI Kebangsaan 2026-2030 dan agenda Ke Arah Negara AI 2030, yang memberi tumpuan kepada pembangunan kapasiti penjawat awam dalam penggunaan teknologi secara bertanggungjawab.

Advertisement

Kementerian Digital dalam kenyataan hari ini memaklumkan inisiatif itu juga menandakan pelaksanaan pertama program AWS AI Academy bagi sektor awam di peringkat serantau, dengan Malaysia dipilih berasaskan hala tuju dasar yang jelas dan kesiapsiagaan yang semakin kukuh dalam memacu penerapan teknologi digital termaju secara bertanggungjawab dalam pentadbiran kerajaan.

“Program ini menekankan aspek aplikasi praktikal menerusi sesi interaktif termasuk Bengkel Reka Bentuk Perkhidmatan, iaitu pegawai sektor awam bersama-sama membangunkan rangka perkhidmatan berteraskan teknologi dan makmal dasar yang membolehkan peserta menilai dan menguji senario dasar menggunakan kajian kes perbandingan.

“Aktiviti direka untuk menyediakan persekitaran pembelajaran berbentuk sandbox, membolehkan peserta meneroka cabaran khusus agensi, bertukar pandangan dan memperkukuh pemahaman keseluruhan kerajaan terhadap integrasi teknologi,” menurut kenyataan itu.

Menurut Kementerian Digital, program itu antara lain tertumpu dalam memperkukuh keupayaan dasar bagi menyokong pembuatan keputusan yang lebih mantap dan berasaskan data, memperdalam kefahaman institusi terhadap teknologi baharu serta pertimbangan tadbir urus dan meningkatkan keupayaan digital gunaan bagi memperbaiki produktiviti dan keberkesanan operasi.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video