PUTRAJAYA: Kementerian Ekonomi kini dalam proses memuktamadkan pelan induk (master plan) dan pelan tindakan (blueprint) pelaburan Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ), yang dijangka dilancarkan pada 30 Mac ini di Johor Bahru.
Menterinya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir memaklumkan, pelan tindakan itu akan menjadi rujukan umum, manakala pelan induk lebih terperinci akan berfungsi sebagai panduan utama kepada semua pihak pelaksana.
Advertisement
"Di peringkat Kementerian Ekonomi, kita sedang memuktamadkan blueprint dan juga master plan, yang mana blueprint itu adalah untuk rujukan umum manakala master plan itu adalah untuk rujukan semua pihak pelaksana," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Sistem MyRMK iaitu Sistem Pemantauan Pelan Pelaksanaan Dasar Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) di Putrajaya pada Khamis.
Beliau berkata pelancaran pelan tindakan itu merupakan langkah penting bagi memperincikan hala tuju pembangunan JS-SEZ termasuk aspek strategi pelaburan, kerjasama ekonomi serta pelaksanaan projek di kawasan tersebut.
Beliau memaklumkan, kerajaan telah bersetuju untuk melancarkan pelan tindakan tersebut pada 30 Mac di Johor Bahru sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh kerjasama ekonomi antara Malaysia dan Singapura serta merangsang pertumbuhan ekonomi di wilayah selatan negara.
JS-SEZ merupakan inisiatif kerjasama strategik antara Malaysia dan Singapura yang bertujuan memperkukuh integrasi ekonomi, menarik pelaburan baharu serta merangsang pertumbuhan ekonomi di wilayah selatan negara.
JS-SEZ yang menyasarkan keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebanyak RM260 bilion menjelang 2030 dijangka mengubah landskap ekonomi Johor secara menyeluruh.
Zon ekonomi itu turut menyasarkan peralihan kepada ekonomi berteraskan inovasi yang lebih maju, selain sasaran mewujudkan lebih 20,000 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.