Skip to main content

Malaysia

Kementerian Komunikasi perhebat Kempen Kesedaran NSRC 997 tangani penipuan dalam talian

KUALA LUMPUR, 5 Mac -- Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil menyantuni dan menyampaikan sumbangan kepada penerima dari meja ke meja pada program sumbangan Nur Ramadan bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Masjid Jamek Al Khadijiah, Pantai Dalam hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Fahmi menyantuni dan menyampaikan sumbangan kepada penerima dari meja ke meja pada program sumbangan Nur Ramadan bersama DBKL di Masjid Jamek Al Khadijiah, Pantai Dalam pada Khamis. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi akan mempergiat usaha meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai peranan Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) 997 bagi membendung penipuan dalam talian.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata kempen khidmat masyarakat itu akan dilaksana bersama dengan beberapa agensi termasuk Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan disiarkan di pawagam, televisyen serta stesen radio dalam pelbagai bahasa.

“Penipu ini tidak hanya fokus kepada satu komuniti... dia akan cuba memangsakan setiap komuniti... di bawah Jabatan Penyiaran, kita ada enam stesen televisyen, 34 stesen radio... jadi, ini akan menjadi keutamaan dan langkah pertama,” katanya dalam sidang media Program Nur Ramadan Persekutuan Parlimen Lembah Pantai di sini pada Khamis.

Beliau turut menasihati orang ramai supaya sentiasa berwaspada terhadap mesej pautan skim cepat kaya atau permintaan pindahan wang di aplikasi pesanan.

“Saya sendiri pernah dapat mesej daripada seorang bekas Timbalan Menteri Besar yang meminta saya memindahkan wang sebanyak RM3,000. 

“Tapi apa yang berlaku, saya cuba hubungi beliau, saya hubungi anak beliau dan mengesahkan WhatsApp beliau telah diambil alih oleh penipu... jadi, tolong hati-hati,” katanya sambil menambah Kementerian Komunikasi menjangkakan aktiviti penipuan ini akan meningkat terutama pada musim perayaan.

Fahmi juga menyarankan orang ramai untuk terus menghubungi talian NSRC 997 sekiranya telah membuat sebarang transaksi mencurigakan bagi membolehkan tindakan pantas diambil sekali gus mengelakkan kehilangan wang yang lebih besar.

Pada program itu, seramai 300 orang daripada golongan asnaf di Lembah Pantai masing-masing menerima sumbangan tunai RM200 dan cenderamata melalui dana Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Beliau turut mengumumkan kerjasama Parlimen Lembah Pantai dengan Pertubuhan Amal Uncle Kentang Malaysia bagi melancarkan inisiatif "RM1 untuk Bantuan Ambulans" yang menyasarkan penyediaan 10 ambulans untuk kegunaan komuniti setempat.

-- BERNAMA

 

 

Advertisement

Must Watch Video