Malaysia pada Sabtu menafikan tanggapan bahawa Malaysia tidak mematuhi sekatan-sekatan yang dikenakan ke atas Republik Demokratik Rakyat Korea oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Malaysia menolak dengan setegas-tegasnya tanggapan sedemikian,” kata Kementerian Luar dalam satu kenyataan.

Tambah kenyataan tersebut, Malaysia telahpun memberi maklum balas terhadap persoalan-persoalan yang dibangkitkan oleh pihak Panel Pakar, dan akan bekerjasama penuh dengan badan-badan itu sebagaimana yang telah dilakukan pada masa-masa lalu.

“Malaysia amat menghargai tugas penting Jawatankuasa Sekatan Majlis Keselamatan PBB Mengenai Republik Demokratik Rakyat Korea yang ditubuhkan menerusi Resolusi 1718 (2006), dan Panel Pakar Majlis Keselamatan PBB yang ditubuhkan menerusi Resolusi 1874 (2009), dengan memastikan pelaksanaan penuh semua resolusi yang berkaitan.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan terdapat laporan-laporan yang memetik deraf laporan Majlis Keselamatan PBB, menyebut bahawa Republik Demokratik Rakyat Korea melakukan tindakan melangkaui sekatan-sekatan antarabangsa menerusi suatu rangkaian syarikat-syarikat di negara-negara lain, termasuk Malaysia.

Hal tersebut tercetus berikutan dakwaan yang menyatakan agensi perisikan Korea Utara menjalankan rangkaian syarikat termasuk di Malaysia, Glocom, sementara dua syarikat yang dikaitkan dengannya adalah International Global System dan International Golden Services.