Susulan insiden letupan bom di Bilik Gerakan Barisan Nasional di Nibong Tebal, Kementerian Pertahanan Negara memberi amaran keras kepada pihak yang terlibat supaya jangan bertindak melampau batas sehingga boleh menggugat ketenteraman negara.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, Malaysia sebuah negara demokrasi dan aman justeru tindakan menakutkan rakyat dengan cara sedemikian tidak sepatutnya berlaku.

Malaysia katanya, mempunyai acuan politik sendiri justeru, tidak perlu pihak-pihak tertentu berbuat perkara sedemkian.

Pemilihan kerajaan dan kuasa penentu oleh rakyat perlu dilakukan dalam suasana bersih dan bukannya dengan menakutkan orang ramai sedemikan rupa.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika mengulas insiden letupan di Bilik Gerakan BN di Nibong Tebal dan beberapa kawasan lain.

Dalam kejadian pada Selasa malam, seorang petugas keselamatan BN cedera selepas longokan sampah yang berada di belakang pentas utama di bilik gerakan BN Nibong Tebal meletup secara tiba-tiba.

Polis yang menjalankan siasatan mengesahkan penemuan dua alat letupan rekaan (IED) dalam longgokan sampah di perkarangan bilik gerakan tersebut yang digunakan untuk mewujudkan kekacauan dan huru hara.