Kerajaan akan melaksanakan Kempen ''Mega Mydaftar'' di 23 kawasan di seluruh negara bagi membantu masyarakat India yang tidak memiliki dokumentasi pengenalan diri bermula Jun depan.

Presiden MIC Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata kempen itu merupakan kesinambungan kempen ''Mydaftar'' yang dilaksanakan kerajaan sebelum ini untuk menyelesaikan masalah dokumentasi masyarakat India yang tidak memiliki dokumen berkaitan kelahiran, kad pengenalan dan kewarganegaraan.

Beliau berkata kempen itu akan bermula 3 Jun dan berakhir 26 Jun dengan kerjasama wakil parti politik dan badan bukan kerajaan (NGO) masyarakat India dan di Perak sendiri kempen itu akan menjelajah di empat kawasan iaitu di Ipoh, Taiping, Sitiawan dan Teluk Intan.

"Menerusi kempen ''Mydaftar'' sebelum ini, kira-kira 12,000 permohonan diterima daripada masyarakat India membabitkan masalah berkaitan kelahiran, kad pengenalan dan kewarganegaraan.

"Daripada jumlah tersebut, sebanyak 7,000 permohonan telah dapat diselesaikan dan kira-kira 4,000 permohonan lagi masih dalam peringkat pertimbangan untuk diluluskan," katanya.

Dr Subramaniam yang juga Menteri Kesihatan bercakap kepada pemberita selepas merasmikan pusat khidmat bagi Pasukan Petugas Khas Pelaksanaan (SITF) Zon Selatan di daerah Bagan Datuk di sini pada Ahad.

Beliau menambah dengan pelaksanaan kempen itu, sekali gus dapat menepis dakwaan pembangkang terdapat 300,000 masyarakat India di negara ini yang masih tidak memiliki kad pengenalan.

"Isu yang dibangkitkan pembangkang itu adalah tidak benar sama sekali kerana kami telah melaksanakan kempen bagi mengenal pasti masalah individu yang tidak memiliki kad pengenalan atau kewarganegaraan.

"Dakwaan itu mewujudkan satu isu yang sensitif kerana kononnya 300,000 masyarakat India telah dinafikan hak mereka di negara ini," katanya.

Sementara itu, berhubung pusat khidmat SITF, beliau berkata daerah Bagan Datuk merupakan cawangan ketiga SITF selepas Melaka dan Sungai Siput.

Dr Subramaniam berkata kerajaan menubuhkan tujuh lagi cawangan pusat khidmat berkenaan di seluruh negara bagi memperkasa dan meyelesaikan isu berkaitan masyarakat India di negara ini secara lebih cepat dan efektif.

"Pembukaan cawangan pusat khidmat berkenaan mengambil kira jumlah penduduk kaum India di sesuatu lokasi yang dipilih bagi menyediakan medium perkhidmatan yang lebih baik kepada mereka.

Katanya, antara isu yang akan dikendalikan di pusat khidmat berkenaan termasuk perkhidmatan MyDaftar (kad pengenalan, kelahiran, kewarganegaraan), peluang pekerjaan, isu kebajikan, pendidikan, perumahan, kesihatan dan pinjaman.

-- BERNAMA