KUALA LUMPUR: Kenaikan cukai perkhidmatan daripada enam peratus kepada lapan peratus yang berkuatkuasa pada 1 Mac lalu tidak memberi impak ketara kepada inflasi, dengan anggaran kenaikan sekitar 0.2 mata peratusan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, melalui peluasan skop dan perubahan kadar cukai perkhidmatan berkenaan kerajaan juga dijangka mengutip hasil berjumlah RM3 bilion.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata kenaikan kadar cukai perkhidmatan lebih menumpukan kepada aktiviti berkaitan perkhidmatan kemahuan dan aktiviti antara perniagaan yang kurang melibatkan rakyat secara langsung.

"Perbelanjaan makanan dan minuman serta telekomunikasi tidak dinaikkan (cukai perkhidmatan) dan kekal enam peratus. Selain itu perbelanjaan utiliti seperti air 9juga kekal dan tidak dikenakan cukai perkhidmatan. Ini harus jelas kerana banyak kekeliruan.

"Jadi kebimbangan kita ialah impak inflasi. Kita tidak nafikan bahawa ada juga kesan tetapi setakat ini mengikut Jabatan Perangkaan Malaysia kesannya sekitar 0.2 peratus.

"Skop berkenaan cukai perkhidmatan adalah kecil iaitu hanya ke atas 41 peratus (daripada bilangan perkhidmatan yang terdapat dalam ekonomi) dan banyak pengecualian diberikan.

"Umpamanya pendidikan, kesihatan termasuk hospital kerajaan dan swasta, pengangkutan, penumpang darat, telekomunikasi prabayar, perkhidmatan penghantaran makanan dan minuman, sewaan rumah kediaman, bangunan komersial," katanya di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau menjawab soalan Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) pada Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri, yang mahu tahu kesan terhadap kos sara hidup rakyat dan kos pengeluaran industri akibat kenaikan cukai perkhidmatan kepada lapan peratus daripada enam peratus.

Anwar (PH-Tambun) menambah melalui penyasaran subsidi tarif elektrik yang dilaksanakan pada 2023, kerajaan dapat menjimatkan perbelanjaan lebih RM4 bilion.

Beliau berkata kadar inflasi dua peratus kini masih rendah dan kerajaan cuba untuk membantu rakyat dengan menaikkan jumlah Sumbangan Tunai Rahmah (STR).

Pada Isnin, Ketua Perangkawan Malaysia (DOSM), Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata inflasi Malaysia meningkat 1.8 peratus pada Februari 2024 dengan mata indeks mencatatkan 132.1 berbanding 129.8 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.