Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr J. Loga Bala Mohan mengumumkan cadangan kenaikan cukai taksiran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah ditangguhkan bagi membolehkan orang ramai memberi maklumbalas.

Beliau mengumumkan perkara berkenaan ketika menggulung perbahasan peruntukan untuk kementerian itu dalam perbahasan Belanjawan 2014.

Katanya, tarikh sebenar pelaksanaan cukai tersebut masih belum ditetapkan.

"Saya ada berita gembira untuk Ahli Parlimen terutama mereka yang tinggal di Kuala Lumpur. Pelaksanaan cukai taksiran yang baru telah ditangguhkan sehingga Mac tahun depan," katanya.

Dr Loga Bala berkata perbincangan melibatkan pelbagai pihak berkepentingan akan diteruskan melalui sesi pendengaran awam bermula 17 Disember ini.