MELAKA: Kenaikan harga bekalan makanan seperti sayur-sayuran dan ayam di Melaka dipercayai berpunca daripada orang tengah yang membekalkan barangan berkenaan kepada peniaga pada harga tinggi.

Exco Perpaduan, Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna negeri Ngwe Hee Sem berkata situasi itu menyebabkan peniaga terpaksa menaikkan sedikit harga jualan namun masih mendapat keuntungan kecil.

"Kebanyakan peniaga memperoleh bekalan daripada beberapa orang tengah sehingga menyebabkan harga meningkat di setiap peringkat, jadi kita akan mencari satu penyelesaian bagi mengurangkan penglibatan orang tengah dalam membekalkan sayur-sayuran atau ayam kepada peniaga agar harga barang boleh diturunkan.

"Hasil pemeriksaan di peringkat pengeluar atau petani juga mendapati harga bekalan sayur-sayuran seperti bendi dan kacang panjang dijual pada harga RM4 sekilogram tetapi meningkat kepada RM7 hingga RM8 sekilogram apabila dijual di pasar," katanya kepada pemberita selepas melawat Pasar Besar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) di sini hari ini.

Beliau berkata justeru itu, satu pertemuan akan diadakan dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) negeri bagi melihat pendekatan yang boleh dilakukan bersama dalam menangani isu kenaikan harga barangan.

Katanya satu daripada kaedah yang boleh dilakukan ialah FAMA menjadi pembekal terus bekalan makanan tersebut daripada petani kepada peniaga tanpa melibatkan orang tengah.

Ngwe berkata selain itu, peniaga juga disaran mendapatkan bekalan terus daripada petani atau pengeluar bagi membolehkan mereka membeli bekalan jualan pada harga lebih rendah dan menjual semula pada harga berpatutan.

"Kita akan terus melakukan pemantauan dan pemeriksaan di semua rangkaian pengeluar dan pembekal termasuk orang tengah dari semasa ke semasa bagi memastikan kenaikan harga barangan makanan dapat dikawal," katanya.

-- BERNAMA