Empat individu masih dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu kerana disyaki dijangkiti leptospirosis atau kencing tikus.

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu Dr Nor Azimi Yunus dalam satu kenyataan pada Selasa berkata, kesemua pesakit yang berusia antara 30 dan 32 tahun itu berada dalam keadaan stabil dan sedang menerima rawatan.

Katanya, semua pesakit menunjukkan gejala menyerupai penyakit leptospirosis seperti demam, sakit sendi, sakit otot, cirit-birit dan muntah.

Bagaimanapun, pihaknya masih menunggu pengesahan ujian makmal.

Nor Azimi berkata, hasil siasatan mendapati, semua pesakit dipercayai mempunyai sejarah melakukan aktiviti rekreasi di Lubuk Sungai Kerawat, Jerantut, pada 1 hingga 4 Jun lalu bersama sembilan individu lain.

Jelasnya, pihaknya masih menjalankan siasatan serta mengesan individu lain yang telah menyertai aktiviti tersebut.

Sementara itu, beliau turut mengesahkan kematian lelaki berusia 29 tahun pada Isnin (15 Jun) jam 1.20 pagi ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSNZ.

Semua pesakit dipercayai terlibat aktiviti rekreasi di Lubuk Sungai Kerawat, Jerantut, pada 1 hingga 4 Jun lalu. - Foto Astro AWANI

BACA: Seorang maut, dua rakan masih dirawat akibat kencing tikus

Katanya, mangsa turut mempunyai gejala leptospirosis dan turut sama menyertai aktiviti rekreasi di kawasan tersebut bersama empat pesakit yang sedang menerima rawatan.

Leptospirosis ialah penyakit berjangkit yang disebabkan oleh patogen leptospira yang boleh berjangkit secara langsung atau tidak langsung daripada haiwan kepada manusia.

Bakteria leptospira boleh terdapat di dalam air kencing haiwan yang dijangkiti seperti tikus, kucing, lembu, kambing, kuda dan haiwan lain.

Justeru pihaknya berharap orang ramai sentiasa mengamalkan langkah pencegahan untuk mengelakkan penularan leptospirosis.