SEPANG: Kenderaan berat dengan muatan berlebihan merupakan satu masalah besar dan antara penyumbang kemalangan jalan raya, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Beliau berkata masalah berat muatan berlebihan perlu diatasi dengan tindakan tegas menerusi penguatkuasaan dan ia juga merupakan satu masalah yang berlanjutan sekian lama dan perlu ditangani segera.

"Jadi lebih muatan ini adalah satu masalah yang perlu kita tangani secara bersepadu dan penguatkuasaan akan ditambah," katanya kepada media selepas menghantar penumpang Batik Air yang berlepas dari Kuala Lumpur ke Sibu, di sini hari ini.

Loke berkata penguatkuasaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berjalan seperti biasa malah operasi khas sentiasa dilaksanakan bagi memastikan penguatkuasaan berjalan lancar dan efisien.

Beliau berkata mulai suku ketiga tahun lepas penguatkuasaan giat dijalankan dan terus meningkat sejak beberapa bulan ini dengan jumlah saman yang dikeluarkan bertambah terutama kepada pengusaha kenderaan perdagangan.

Mengenai sektor penerbangan tahun ini, Loke berkata permintaan dijangka terus kukuh dan jumlah penumpang untuk tahun ini dilihat akan terus meningkat.

Justeru, beliau berkata kerjasama daripada syarikat-syarikat penerbangan penting dalam mencari jalan untuk menambah kapasiti dan penerbangan.

Loke berkata jumlah penumpang tahun lepas mencecah hampir 85 juta dengan 60 peratus daripadanya adalah penumpang domestik manakala 40 peratus merupakan penumpang antarabangsa.

"Jadi kita menjangkakan tahun ini kita punya penumpang antarabangsa akan terus meningkat kerana melihat kepada pemulihan sektor pelancongan," katanya.

Selain itu, Loke berkata dasar kerajaan mengecualikan visa untuk pelancong daripada China dan India juga akan menambah bilangan penumpang dari kedua-dua negara itu.

-- BERNAMA