KUALA LUMPUR: Kepelbagaian budaya dan tradisi di Malaysia bukan sekadar identiti, malah merupakan asas kukuh kepada perpaduan nasional yang perlu terus dipelihara.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan bahawa sambutan seperti Pesta Vaisakhi bukan sahaja meraikan tradisi masyarakat Sikh, tetapi lebih penting lagi, ia menyemarakkan semangat perkhidmatan, kebersamaan, dan keadilan yang menjadi teras kepada kekuatan negara.
Advertisement
Menurut Perdana Menteri lagi, keunikan Malaysia terletak pada keupayaan rakyatnya yang berbilang kaum untuk hidup dalam harmoni dan saling menghormati.
"Kekuatan kita terletak pada kepelbagaian kita. Budaya, tradisi, dan keharmonian kita bukan sekadar penanda identiti, tetapi ia adalah asas sebenar perpaduan kita," katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Festival Vaisakhi 2026 di ibu kota, hari ini.
Turut hadir ialah Menteri Digital Gobind Singh Deo.
Anwar turut memberi penghormatan tinggi kepada komuniti Sikh di Malaysia yang telah lama memainkan peranan penting dalam pembangunan negara. Bagi beliau, komuniti itu mempunyai tempat yang sangat istimewa di hati dan sejarah perjuangan peribadinya.
Beliau mengimbau kembali saat-saat sukar dalam kerjaya politiknya, di mana sokongan daripada keluarga Sikh menjadi sebahagian daripada kekuatannya semasa berdepan tindakan mahkamah dan tempoh pemenjaraan.
Dalam pada itu, beliau turut memberikan penghormatan khusus kepada mendiang Datuk Karpal Singh yang disifatkan sebagai tokoh penting dalam perjuangannya.
Perdana Menteri turut menyentuh hubungan rapatnya dengan Gobind Singh Deo, yang kini menganggotai barisan Kabinet.
Dalam nada berseloroh, Perdana Menteri menceritakan bagaimana adakalanya beliau perlu mengingatkan Gobind dalam mesyuarat Kabinet mengenai peranannya sebagai menteri, memandangkan latar belakang Gobind yang pernah menjadi peguam belanya.
"Kadangkala saya tidak pasti sama ada beliau bercakap sebagai peguam saya atau sebagai anggota Kabinet. Saya terpaksa ingatkan beliau, 'Hey Gobind, anda di sini sebagai anggota Kabinet, bukan peguam saya'," katanya yang disambut dengan tepukan hadirin.
Beliau menyifatkan hubungan tersebut sebagai bukti keindahan semangat rakyat Malaysia di mana perbezaan budaya, bangsa, dan agama tidak menghalang mereka untuk berjuang bersama demi idealisme yang sama.
"Inilah contoh terbaik bagaimana kita berjuang bersama, berkongsi inspirasi, dan menunjukkan kasih sayang kerana kita adalah rakyat Malaysia yang percaya kepada cita-cita murni ini," katanya.