KUALA LUMPUR: Penyertaan aktif dalam kalangan belia dalam pelaksanaan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) bergantung kepada gaya kepimpinan seseorang pentadbir.

Wakil Gabenor Jawa Timur, Emil Elestianto Dardak berkata pemimpin harus bersifat responsif dan sedia menerima sebarang kritikan dengan terbuka.

“Salah satu cara untuk mendapatkan penyertaan daripada golongan muda, kembali kepada soal kepercayaan. Saya sudah biasa dihujat (dikritik) di media sosial. Kadang-kadang caranya tidak profesional, tetapi sebagai pemimpin kita tidak terima hal tersebut sebagai serangan peribadi.

“Apa yang penting ialah kita tumpukan kepada fakta yang mereka lontarkan. Pemimpin perlu bersifat responsif, bukannya reaktif. Orang reaktif lebih cenderung panik dan marah-marah, padahal belum mengetahui sesuatu fakta secara menyeluruh.

“Tetapi sebagai seorang pemimpin responsif perlu mempunyai kesabaran, dapatkan maklumat yang lengkap sebelum memberikan sebarang maklum balas,” katanya dalam program Agenda AWANI.

Emil berkata pihaknya sentiasa menggalakkan mahasiswa dan belia untuk lantang bersuara mengenai isu berkepentingan awam termasuk hal-hal berkaitan dengan SDG. Ini adalah kerana, golongan ini benar-benar memahami apa yang perlu dilakukan untuk masa depan negara yang terbaik.

Jelasnya, sekiranya golongan ini bungkam dan bisu, kesunyian itu akan diisi oleh suara golongan yang mempunyai kepentingan peribadi yang tidak semestinya menguntungkan agenda SDG yang sedang diusahakan.