KUALA LUMPUR: Dianggarkan 100 orang berhimpun dan berarak ke Kedutaan Amerika Syarikat (AS) untuk menyertai 'Aksi Bertindak: Kepung Demi Palestin'selama enam hari bermula Selasa malam. 

Mereka bersama lebih 70 organisasi termasuk NGO, gerakan mahasiswa dan parti politik menggesa gencatan senjata dan menghentikan kekejaman dilakukan Israel di Palestin.

Pemimpin pelbagai parti politik juga dilihat turut serta, termasuk Timbalan Ketua Pemuda MCA, Mike Chong Yew Chuan; Setiausaha Agung MUDA, Amir Hariri Abd Hadi; dan bekas Ahli Parlimen Batu, Chua Tian Chang yang juga ahli jawatankuasa Sekretariat Solidariti Palestin.

"Bermula malam ini, aktivis akan mengadakan piket di depan kedutaan AS, mengingatkan bahawa Gaza sedang dikepung Israel. Kita harap lebih ramai datang dalam tempoh enam hari ini bagi menunjukkan solidariti.

"Kita tak akan halang lalu lintas atau mengganggu urusan orang ramai, kita hanya mahu mengingatkan bahawa isu ini adalah isu perjuangan kemanusiaan," katanya ketika ditemui pemberita.

Dalam pada itu, Tian Chua memaklumkan piket diadakan secara aman sebagai tindak balas rakyat Malaysia bagi menuntut supaya pembunuhan terhadap rakyat Palestin dihentikan, manakala gencatan senjata dilaksanakan segera, kekal dan tanpa syarat, selain pengiktirafan hak rakyat Palestin untuk hidup dalam negara berdaulat.

Beliau juga menjelaskan pihaknya telah menghantar surat kepada Menteri Dalam Negeri serta menghantar makluman kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung penganjuran piket tersebut.

"Kami buat piket, jadi permohonan himpunan biasa tidak terpakai kepada kami tetapi saya katakan dengan jelas, kami telah menghantar surat kepada Menteri Dalam Negeri, polis Kuala Lumpur kami telah memaklumkan kepada (balai polis) Dang Wangi dan Wangsa Maju.

"Mereka semua tahu, sebab itu mereka berada di sini, mereka telah dimaklumkan," katanya.

Terdahulu pada Isnin, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah, mengesahkan pihaknya tidak menerima sebarang permohonan permit daripada penganjur bagi mengadakan piket berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid menasihatkan agar peserta piket tidak mendirikan khemah di kawasan tersebut bagi menjaga keselamatan perwakilan asing serta orang awam.

PDRM juga katanya, akan terus memantau situasi di kawasan tersebut selama piket itu berlangsung dan memohon kerjasama peserta sentiasa meletakkan keselamatan sebagai keutamaan.

"Kami telah menggerakkan pegawai untuk menjaga keselamatan. Kami minta kerjasama semua termasuk peserta, pertimbang keselamatan orang awam. Saya pohon kerjasama semua dan kita bantu dengan cara terbaik.

"Buat masa ini kami tak ambil tindakan cuma kita akan memastikan tidak ada struktur seperti khemah didirikan berhampiran kedutaan asing," katanya.