Keputusan siasatan ke atas sebahagian struktur kondominium 37 tingkat dalam pembinaan yang runtuh di Taman Desa, Jalan Klang Lama di sini Jumaat lepas dijangka siap dalam tempoh sebulan, kata Menteri Kerja Raya, Baru Bian.

Beliau berkata pegawai Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) berada di lapangan sejak insiden itu berlaku, mengumpul maklumat dan bukti untuk menjalankan siasatan dalam pelbagai aspek.

"Berkaitan insiden itu, saya ingin mengingatkan peserta industri pembinaan supaya mematuhi undang-undang, peraturan dan garis panduan berkaitan pembinaan.

"Adalah jelas mengikut akta semua pekerja perlu didaftarkan dengan CIDB selain daripada memastikan bahan binaan dan produk menepati standard tinggi di bawah Perakuan Pematuhan Standard' (PPS)," katanya dalam sidang media sempena pelancaran Portal Maklumat Pembinaan Sehenti CIDB - CONVINCE di sini pada Selasa.

CIDB sedang menyiasat insiden itu di bawah Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia 1994, iaitu, Seksyen 33D(1) mengenai Sijil Pematuhan Standard, Seksyen 33A(1) mengenai pendaftaran pekerja dan akreditasi dan Seksyen 25 (1) berkenaan pendaftaran kontraktor.

Sementara itu portal CONVINCE, satu inisiatif utama di bawah Program Transformasi Industri Pembinaan (CITP) dari 2016 - 2020, kini boleh diakses oleh semua pemegang kepentingan industri.

CONVINCE menyediakan maklumat terkini dan dikemas kini dalam bentuk perangkaan pembinaan interaktif, perkhidmatan permintaan data, penerbitan digital dan direktori pencarian.

Baru berkata maklumat yang disediakan menerusi CONVINCE akan membolehkan organisasi membuat formulasi dasar yang lebih berkesan, perancangan strategik dan ramalan industri pembinaan.

"Mempunyai akses maklumat pembinaan komprehensif akan membolehkan peserta industri dan pemegang kepentingan membuat keputusan berdasarkan maklumat dan mengurangkan risiko perniagaan, katanya.

--BERNAMA