MALAYSIA
Kerajaan ambil perhatian permintaan negeri tentukan keutamaan projek RMK13 - PM Anwar

Anwar berucap ketika merasmikan Majlis Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah Tahun 2025 di Dewan Hongkod Koisaan, Persatuan Kadazandusun (KDCA) Kota Kinabalu pagi ini. - FB Anwar Ibrahim
PENAMPANG: Kerajaan Persekutuan sentiasa mengambil kira keperluan serta permintaan daripada negeri-negeri dalam menentukan keutamaan projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ringkasan AI
- Kerjasama dalam RMK13: Projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 ditentukan bersama antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri, bukan secara unilateral.
- Fokus pada Sabah: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan bahawa permintaan negeri, termasuk Sabah, diberikan perhatian langsung melalui mesyuarat bersama.
- Seruan kepada perpaduan: Anwar menyeru supaya tidak membangkitkan isu-isu yang boleh merosakkan hubungan antara kerajaan pusat dan negeri demi kepentingan politik, terutama menjelang PRN Sabah.
"(Projek) RMK13 bukan saya kata tidak berlaku, dahulunya ada permintaan disaring oleh kementerian-kementerian Persekutuan ... sekarang tidak, permintaan itu (dibincangkan) secara langsung (dalam mesyuarat) yang dipengerusikan Perdana Menteri, ada Ketua Menteri, ada menteri-menteri negeri.
"Secara langsung kita dengar dan beri perhatian. Sebenarnya hal ini hanya berlaku kerana keseragaman, hubungan akrab dan baik kerana saling meyakini antara satu sama lain," kata beliau ketika berucap merasmikan Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah di sini hari ini.
Majlis sambutan yang diadakan di Dewan Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) itu turut dihadiri Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, Timbalan Ketua Menteri II Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam dan Presiden KDCA Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.
Anwar turut menzahirkan penghargaan kepada Hajiji dan Kerajaan Negeri Sabah atas keterbukaan untuk bekerjasama dengan pemimpin serta kerajaan Persekutuan dalam usaha memajukan serta mengangkat martabat Malaysia dan Sabah.
Perdana Menteri menegaskan bahawa semangat bagi membina kekuatan Sabah perlu disemai melalui perpaduan yang kukuh antara kerajaan pusat dengan kerajaan negeri dalam kerangka negara Persekutuan.
Justeru, beliau mengingatkan kepada semua pihak supaya tidak membangkitkan isu-isu yang boleh menghakis hubungan baik itu semata-mata untuk mendapatkan political mileage (manfaat politik), terutama menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.
"Dalam pergelutan menjelang pilihan raya ini ... pimpinan yang pernah memimpin, yang bersama, kadang-kadang lupa semata-mata untuk menghangatkan suhu politik, membangkitkan isu-isu yang menimbulkan terhakisnya keyakinan kepada negara, perkara ini tidak sihat," kata beliau.
Anwar berkata kerajaan Persekutuan dan negeri-negeri, terutama Sabah serta Sarawak mempunyai banyak kepelbagaian serta perbezaan, namun keadaan itu harus dilihat sebagai kekuatan kepada Malaysia sebagai sebuah negara, demi kesejahteraan rakyat.
Beliau berkata ketika Malaysia ditubuhkan, "Bersekutu Bertambah Mutu" dipilih sebagai moto negara bagi memperlihatkan pentingnya kesatuan di sebalik kepelbagaian itu dalam memperkukuh negara ini.
"Kepelbagaian juga boleh meruntuhkan (sesebuah negara) ... ada di negara di dunia pada awalnya menerima kepelbagaian kaum dan agama, kemudian timbul permusuhan antara kaum, agama dan wilayah. Negara mana yang boleh berjaya begitu? Semua hancur lebur.
"Jadi, betapa susah pun, betapa sukar sekalipun, pimpinan yang waras dalam kempen politik untuk rebut jawatan ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) atau Ahli Parlimen mesti ingat, jangan korbankan negeri dan negara ini," kata Perdana Menteri.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami