Skip to main content

Malaysia

Kerajaan cabar penilaian tanah Enklaf Duta oleh penilai Semantan

PUTRAJAYA, 8 Dis -- Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan sabitan salah dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang didapati bersalah di atas tujuh pertuduhan membabitkan penyelewengan dana RM42 juta milik syarikat SRC International Sdn Bhd.  Prosiding tersebut dijalankan melalui sidang video berikutan bekas perdana menteri dan peguam belanya merupakan kontak kasual kepada anak lelaki Muhammad Shafee, Muhammad Farhan, yang disahkan positif C
Pada 13 Nov 2025, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Semantan Estate bagi kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan bahawa Pendaftar Hak Milik Wilayah Persekutuan tidak perlu mendaftarkan tanah seluas 263.272 ekar di Enklaf Duta atas nama syarikat berkenaan. - Gambar hiasan
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kerajaan hari ini mempersoalkan kadar RM6,000 seekar yang diguna pakai seorang penilai hartanah berlesen, ketika membuat penilaian tanah di Enklaf Duta pada tahun 1956, dengan membangkitkan bahawa beberapa transaksi setanding yang dipetik dalam laporannya sendiri, dinilai lebih rendah daripada kadar tersebut.

Peguam Kanan Persekutuan Nurhafizza Azizan yang mewakili kerajaan, membangkitkan perkara itu ketika menyoal balas penilai Semantan Estate (1952) Sdn Bhd Foo Gee Jen, semasa perbicaraan penilaian pampasan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Roslan Mat Nor.

Nurhafizza merujuk Foo kepada beberapa transaksi setanding yang disenaraikan dalam laporan penilaiannya, termasuk lot-lot banglo dan tanah di Bukit Tunku, yang telah digunakan oleh saksi itu dalam menilai nilai pasaran tahun 1956 bagi bidang tanah seluas 263.272 ekar di Mukim Batu.

Foo, seorang saksi plaintif, tidak bersetuju dengan cadangan Nurhafizza bahawa kadar RM6,000 seekar yang diguna pakai dalam penilaiannya sebagai tinggi dan tidak disokong oleh bukti dokumentari atau laporan penilaian kerajaan.

Beliau juga tidak bersetuju bahawa hartanah subjek itu iaitu Enklaf Duta, merupakan tanah pertanian, tetapi menyatakan beliau tidak mempunyai rekod untuk menunjukkan bahawa tanah tersebut tidak diklasifikasikan sebagai tanah pertanian.

Sementara itu dalam pernyataan saksinya, Foo berkata penilaiannya merangkumi nilai pasaran hartanah subjek, serta kerugian yang dialami atau berkemungkinan dialami akibat pemisahan dan jejas mudarat.

Beliau berkata penilaian itu dijalankan berikutan perintah Mahkamah Rayuan bertarikh 24 Jun 2025, yang antara lain, mengarahkan agar penilaian pampasan dijalankan selaras dengan Akta Pengambilan Tanah 1960.

Perbicaraan bersambung pada 1 Sept.

Pada 13 Nov 2025, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Semantan Estate bagi kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan bahawa Pendaftar Hak Milik Wilayah Persekutuan tidak perlu mendaftarkan tanah seluas 263.272 ekar di Enklaf Duta atas nama syarikat berkenaan.

Justeru, keputusan Mahkamah Rayuan yang memihak kepada kerajaan kekal berkuat kuasa, kerana syarikat itu tidak boleh meneruskan rayuannya ke Mahkamah Persekutuan dan kes itu kemudian dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk pendengaran bagi pentaksiran ganti rugi.

Pada 24 Jun 2025, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa Semantan Estate tidak berhak ke atas hak milik tanah itu, tetapi syarikat berkenaan berhak mendapat pampasan sewajarnya berdasarkan nilai tanah tersebut pada tahun 1956, apabila ia diambil alih oleh kerajaan.

Tanah yang terletak di lokasi utama Jalan Duta itu menempatkan antaranya Kompleks Lembaga Hasil Dalam Negeri, beberapa bangunan kerajaan, Stadium Hoki Nasional, Institut Kefahaman Islam Malaysia dan Masjid Wilayah Persekutuan.

Pada 2003, Semantan Estate memfailkan saman terhadap kerajaan atas dakwaan pencerobohan yang berpunca daripada pengambilan tanah secara tidak sah daripada syarikat itu.

Pada 2009, Pesuruhjaya Kehakiman Zura Yahya memutuskan bahawa Semantan Estate mengekalkan kepentingan benefisialnya terhadap tanah seluas 263.27 ekar itu yang diambil alih oleh kerajaan secara tidak sah serta melakukan pencerobohan ke atas tanah terbabit.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement