PUTRAJAYA: Kerajaan bercadang untuk mengiktiraf Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) agar setaraf Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam usaha meningkatkan kebolehpasaran graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara berkata kertas dasar mengenai cadangan itu akan dibawa ke pertimbangan Jemaah Menteri dalam tempoh dua minggu akan datang.

"Mereka (lepasan TVET) akan dapat masuk ke pasaran sama ada swasta atau kerajaan berdasarkan sijil-sijil (SKM) yang akan dikeluarkan itu," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Portal TVET MADANI di sini hari ini.

Ahmad Zahid yang sebelum itu mempengerusi Mesyuarat Majlis TVET (MTVET) Negara berkata terdapat beberapa lagi perubahan dasar yang dirancang kerajaan dalam memastikan sektor TVET terus berkembang di negara ini.

"Kita tidak lagi berfikir secara silo tetapi melakukan koordinasi sebaik-baiknya dengan 12 kementerian, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan swasta supaya tidak ada yang tertinggal dalam merebut peluang pekerjaan ini," katanya.

Beliau berkata pemerkasaan TVET adalah bertujuan mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing dan merapatkan jurang pengangguran di negara ini.

"Telah tiba masanya untuk gunakan tenaga tempatan, berikan latihan sewajarnya mengikut kehendak pasaran yang ada dan minat peserta itu," katanya.

Mengenai cadangan penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig, Ahmad Zahid berkata beliau telah mengadakan perbincangan tidak formal dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai penubuhan suruhanjaya itu dan Kertas Kabinet bagi mewujudkan suruhanjaya itu juga sedang disediakan.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO 2023 pada 9 Jun lepas menyarankan penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig untuk mengawal selia ekosistem industri gig di negara ini.

Terdahulu, Ahmad Zahid menyaksikan pertukaran memorandum kerjasama antara kerajaan dengan GLC dan syarikat swasta antaranya Carsome Academy Sdn Bhd dan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua).

Memorandum kerjasama itu akan menjadi platform kerjasama meliputi semua Institusi Latihan Kemahiran Awam di bawah 12 kementerian dengan GLC dan syarikat swasta berdasarkan kesesuaian bidang dan skop yang dipersetujui secara bersama.

-- BERNAMA