Kerajaan Johor terbuka tampung kos kursus tingkat kemahiran pengamal media

Kerajaan Negeri Johor terbuka untuk menampung perbelanjaan kursus jangka pendek di universiti terkemuka luar negara bagi meningkatkan kemahiran pengamal media di negeri itu, kata Onn Hafiz. - Gambar Bernama
JOHOR BAHRU: Kerajaan Negeri Johor terbuka untuk menampung perbelanjaan kursus jangka pendek di universiti terkemuka luar negara bagi meningkatkan kemahiran pengamal media di negeri itu.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, usaha itu selaras dengan agenda pembangunan bakat meliputi pelbagai aspek yang menjadi tumpuan kerajaan negeri.
Beliau berkata, ia juga seiring dengan komitmen yang diberikan oleh universiti-universiti terkemuka seperti Universiti Oxford, Universiti Harvard dan Universiti Stanford dalam membantu pembangunan bakat menerusi kerjasama strategik dengan kerajaan negeri.
"Pintu kita sentiasa terbuka dan akan support (tampung kos) kursus pendek. Seperti yang saya katakan, agenda (pembangunan bakat) kita sangat jelas dan kita mahu anda (pengamal media) menjadi sebahagian daripada agenda ini," katanya ketika berucap merasmikan Anugerah Media Johor (AMJ) 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, di sini, malam tadi.Turut hadir Presiden Kelab Media Johor (KMJ) dan Presiden Gabungan Kelab Media Malaysia (GKMM), Mohamad Fauzi Ishak.
Dalam pada itu, Onn Hafiz berkata, pelaksanaan inisiatif seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) adalah antara faktor Johor terus menjadi tumpuan sekali gus membuka peluang kerjasama dengan pelbagai pihak termasuk universiti terkemuka berkenaan.
Terdahulu, AMJ 2025 menghimpunkan lebih 300 pengamal media, wakil agensi kerajaan, dan rakan strategik KMJ bertujuan memperkukuh hubungan erat antara kerajaan negeri dan komuniti media di Johor.
Anugerah yang mempertandingkan sebanyak 24 kategori itu diadakan bagi mengiktiraf peranan pengamal media dalam menyampaikan maklumat yang tepat sekali gus membantu membina imej positif negeri itu.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami