Kerajaan negeri Perak akan menyalurkan dana sebanyak RM30,000 kepada kuil Sree Muneeswarar Amman Kovil di Jalan Hospital di sini bagi membaik pulih kerosakan yang berlaku petang semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi Nasional dan Kampung Baharu negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata peruntukan itu juga untuk upacara keagamaan.

Beliau turut meminta orang ramai supaya bertenang dan membenarkan polis melakukan siasatan lengkap agar keharmonian semua kaum dapat dikekalkan.

"Kerajaan negeri mengecam sekeras-kerasnya perbuatan ini, dan pihak polis juga telah melakukan siasatan terhadap kes ini. Penting untuk kita memelihara keamanan dan keharmonian negeri ini," katanya kepada pemberita selepas meninjau kuil berkenaan di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.10 petang semalam, seorang suspek lelaki berumur 29 tahun telah masuk ke kawasan kuil itu dengan sebuah kereta sebelum memecahkan patung di rumah ibadat itu.

Selepas merosakkan patung berkenaan, suspek melarikan diri ke Jalan Ghazali Jawi dengan memandu kereta secara melawan arus dan terbabas lalu melanggar sebuah perhentian bas sebelum ditahan polis.

Dr Mah dalam pada itu turut menafikan dakwaan yang mengatakan suspek adalah kakitangan Kementerian Kesihatan.

"Suspek telah meletak jawatan pada 22 haribulan lalu dengan notis 24 jam dan hanya bekerja selama lima hari ... beliau telah menolak tawaran tersebut dan beliau bukanlah anggota Kementerian Kesihatan," katanya.