Kerajaan negeri Pulau Pinang tidak tahu menahu tentang cadangan pembinaan dua lapangan terbang baharu seperti yang dilaporkan akhbar The Star hari ini, kata Ketua Menteri Chow Kon Yeow.

Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan negeri mengalu-alukan sebarang cadangan untuk membangunkan sebuah lapangan terbang baharu di negeri atau wilayah ini.

"Kerajaan negeri Pulau Pinang ingin mengulangi pendirian kami sebelum ini bahawa sebarang cadangan pembinaan lapangan terbang baharu tidak boleh menjejaskan peranan dan fungsi Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang di Bayan Lepas serta pembangunan masa depan negeri ini.

"Ekonomi Pulau Pinang dan rakyatnya mesti mendapat manfaat daripada sebarang cadangan seperti itu," katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Chow berkata kerajaan negeri akan menunggu sehingga cadangan itu dikemukakan dan memberi maklum balas selepas itu.

Beliau berkata kerajaan negeri juga akan meneruskan cadangan untuk mengadakan satu kajian berhubung keperluan masa depan lapangan terbang di negeri ini dan wilayah di sekelilingnya.

Akhbar The Star melaporkan terdapat dua syarikat yang merancang untuk membina sebuah lapangan terbang baharu, masing-masing dinamakan sebagai Lapangan Terbang Antarabangsa Utara Malaysia (NMIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Wilayah Utara (NORIA), di dua lokasi berbeza di selatan Seberang Perai di tanah besar Pulau Pinang.

Laporan itu turut menyebut sebuah syarikat swasta telah mengemukakan cadangan kepada Kerajaan Persekutuan manakala sebuah lagi dijangka berbuat demikian tidak lama lagi.

-- BERNAMA