KUANTAN: Kerajaan Negeri Pahang menerusi Bahagian Perancangan Ekonomi Negeri dalam proses permohonan pengambilan tanah bagi menaik taraf Lapangan Terbang Pulau Tioman dengan pemanjangan landasan daripada 850 meter ke 1.3 kilometer.

Pengerusi Jawatan Kuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Kesihatan dan Kerajaan Tempatan Pahang Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata Pejabat Tanah dan Daerah Rompin telah mendapatkan penilaian daripada Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta bagi lot tanah yang terlibat.

"Kerajaan Persekutuan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM47 juta untuk menaik taraf lapangan sedia ada bagi meningkatkan keupayaan operasi untuk memenuhi peningkatan kemasukan pelabur, peniaga dan pelancong," katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, di Wisma Sri Pahang di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Mohd Johari Hussain (BN-Tioman) yang ingin tahu status projek Lapangan Terbang Pulau Tioman.

Ketika menjawab soalan tambahan Johari yang bertanyakan sama ada lapangan terbang itu bersedia menerima pesawat persendirian dan penerbangan terus antarabangsa, beliau berkata kajian sedang dilaksanakan oleh perunding.

"Pihak perunding yang dilantik oleh Kementerian Pengangkutan sedang menjalankan kajian bagi menentukan jarak pemanjangan, jenis kapal yang boleh digunakan dan syarikat penerbangan yang bersedia menjalankan perkhidmatan.

"Selain itu, perunding juga sedang menyediakan kos pemanjangan, pengambilan balik tanah dan pengoperasian lapangan sedia ada tersebut," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebuyaan Pahang Leong Yu Man berkata kerajaan negeri sedang berusaha mendapatkan maklumat lanjut berhubung lokasi di Kuantan yang disebut dalam animasi Jujutsu Kaisen, yang tular di media sosial.

"Memang ada peminat pantai cadang memorial watak anime itu dan kerajaan negeri kita tak ambil mudah perkara ini dan sedang berusaha berhubung dengan pihak Jepun serta mendapatkan kelulusan daripada pencipta anime itu...kita harap akan ada satu tempat peminat anime 'check-in', supaya ia jadi satu daya tarikan baru untuk peminat anime seluruh dunia," katanya.

Beliau berkata demikian ketika memberikan informasi tambahan selepas menjawab soalan Rosli Abdul Jabar (PN-Tanjung Lumpur) yang ingin tahu perancangan kerajaan negeri untuk menaik taraf Pantai Anak Air dan menjadikan Pantai Tanjung Lumpur sebagai kawasan pelancongan.

-- BERNAMA