Kerajaan perkasa hiburan dan sukan selari syariat Islam - Zulkifli

Zulkifli berkata, kerajaan sedang berusaha meneliti aspek berkenaan dengan mengadakan pelbagai program berbentuk hiburan dan sukan yang selari dengan tuntutan syariat. - Gambar fail/Bernama
MARANG: Usaha menyediakan platform hiburan dan sukan yang selari dengan tuntutan syariat Islam terus diperkukuh bagi memastikan masyarakat khususnya golongan muda dapat menikmati bentuk hiburan yang baik dan aktiviti sukan bermanfaat.
Ringkasan AI
- Usaha menyediakan platform hiburan dan sukan selari dengan syariat Islam diperkukuh untuk minat generasi muda.
- Langkah ini bertujuan tarik minat golongan muda terlibat dalam hiburan dan sukan dengan panduan agama.
- Festival Kesenian Islam dan Dakwah Negara turut berjaya tarik lebih 900 peserta dari seluruh negara.
"Hal ini bertujuan menarik minat anak-anak muda. Dalam Islam, kesenian dan hiburan itu dibenarkan manakala sukan pula digalakkan namun ada garis panduan. Jadi inilah yang kita usahakan supaya semua lapisan masyarakat khususnya golongan muda dapat terlibat dalam sektor ini dengan bimbingan, panduan dan garis panduan yang tepat," katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas menghadiri Festival Kesenian Islam dan Program Dakwah Negara Peringkat Kebangsaan Tahun 2025 di di Asrama Darul Falah Bukit Payong, di sini, pada Khamis.
Justeru, Zulkifli berkata, kerajaan sedang berusaha meneliti aspek berkenaan dengan mengadakan pelbagai program berbentuk hiburan dan sukan yang selari dengan tuntutan syariat.
"Banyak program telah dilaksanakan seperti kempen Subuh Macam Jumaat bersama Sonny Bill Williams, pertemuan dengan Khabib dan sebagainya dan ia mendapat sambutan yang sangat baik," katanya.
Sementara itu, Zulkifli berkata, festival selama tiga hari bermula pada Khamis turut berjaya menghimpunkan lebih 900 peserta melibatkan murid sekolah rendah, pelajar sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi dari seluruh negara.
Beliau berkata, pelbagai acara diadakan termasuk pidato, sajak, tilawah, alunan azan, nasyid dan pelbagai segmen lain bertujuan mengimarahkan kesenian Islam serta menyerlahkan bakat generasi muda.
"Festival itu menerima sambutan amat menggalakkan, sekali gus menunjukkan minat tinggi masyarakat terhadap platform kesenian berteraskan syariat.
"Mesej utama program adalah untuk merancakkan kesenian Islam melalui pendekatan yang baik selari dengan tuntutan agama dan mampu menarik penyertaan lebih ramai anak muda," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


