Skip to main content

Malaysia

Kerajaan perkasa pendidikan tahfiz seiring arus perdana - Zulkifli

PUTRAJAYA, 27 Jun -- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr. Zulkifli Hasan ketika bertemu pengamal media selepas menghadiri Perasmian Konvensyen Kebangsaan Profesion Peguam Syarie 2026 hari ini.  --fotoBERNAMA
Zulkifli berkata pendidikan tahfiz bukan sekadar melahirkan penghafaz al-Quran, tetapi juga modal insan yang menguasai ilmu, mempunyai akhlak mulia, berkemahiran serta mampu menyumbang kepada pembangunan negara. - Gambar fail/Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kerajaan MADANI terus komited memperkasakan pendidikan tahfiz agar seiring dengan pendidikan arus perdana, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Hasan.

Beliau berkata pendidikan tahfiz bukan sekadar melahirkan penghafaz al-Quran, tetapi juga modal insan yang menguasai ilmu, mempunyai akhlak mulia, kemahiran serta mampu menyumbang kepada pembangunan negara.

“Konvokesyen tahun ini amat bermakna kerana diadakan bersempena dengan Sambutan Jubli Intan 60 Tahun Darul Quran (DQ) JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) sejak penubuhannya pada 1966. Enam dekad kecemerlangan membuktikan DQ sebagai institusi peneraju pendidikan tahfiz negara yang berjaya melahirkan huffaz berkualiti dan profesional.

“Sehingga kini, DQ telah melahirkan 12,633 graduan huffaz yang berkhidmat dalam pelbagai sektor termasuk pendidikan, kehakiman syariah, dakwah, penyelidikan, pentadbiran serta sektor profesional,” katanya pada sidang media selepas Istiadat Konvokesyen DQ JAKIM ke-34 di sini, hari ini.

Zulkifli berkata DQ lahir daripada satu cita-cita besar negara, iaitu membangunkan generasi huffaz yang mampu menjadi pewaris ilmu, pemimpin masyarakat dan pembina tamadun berteraskan al-Quran.

“Sambutan Jubli Intan ini tidak hanya menjadi medan mengenang sejarah, tetapi menjadi titik permulaan kepada transformasi yang lebih besar. Jadikan legasi 60 tahun sebagai inspirasi untuk membina 60 tahun berikutnya dengan lebih cemerlang,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kepimpinan dan warga kerja DQ JAKIM atas komitmen serta iltizam dalam membangunkan institusi berkenaan.

Pada majlis itu, sebanyak 700 graduan menerima sijil masing-masing dengan 37 graduan Ijazah Sarjana Muda kerjasama DQ dengan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), 454 graduan Diploma Tahfiz al-Quran dan al-Qiraat, 204 graduan Program Pensijilan Tahfiz bersama institusi pengajian tinggi serta lima graduan Sijil Asas Tahfiz.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement