Kerajaan perkemas proses rayuan akaun ditutup

Lim Hui Ying (foto) berkata usaha itu bertujuan memastikan semua prosedur rayuan dilaksanakan secara lebih telus, cepat, dan tidak membebankan pemegang akaun yang terjejas. -Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang memperkukuh koordinasi antara institusi kewangan, Bank Negara Malaysia (BNM), dan agensi penguatkuasaan bagi menambah baik proses rayuan melibatkan akaun bank yang ditutup atas syak terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram.
Ringkasan AI
- Kerajaan sedang memperkukuh koordinasi antara institusi kewangan, BNM dan agensi penguatkuasaan bagi menambah baik proses rayuan akaun bank yang ditutup atas syak pengubahan wang haram.
- BNM menetapkan garis panduan baharu yang mewajibkan institusi kewangan memberi notis bertulis kepada pelanggan dengan alasan penutupan dan langkah rayuan.
- Langkah ini bertujuan meningkatkan ketelusan, melindungi hak pengguna dan memastikan tindakan penutupan akaun dibuat berdasarkan bukti kukuh.
Katanya, BNM kini telah menetapkan garis panduan baharu yang mewajibkan setiap institusi kewangan memberikan notis bertulis kepada pelanggan apabila akaun mereka ditutup atas sebab berkaitan siasatan.
“Notis itu mesti menjelaskan alasan penutupan akaun tanpa menjejaskan kerahsiaan siasatan serta menerangkan langkah-langkah yang boleh diambil oleh pelanggan untuk membuat rayuan,” katanya ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat, pada Rabu.
Lim berkata langkah itu penting bagi memastikan pelanggan tidak terpinggir dalam proses pengurusan akaun dan mempunyai saluran yang jelas untuk mendapatkan penjelasan lanjut.
Beliau menjelaskan bahawa notis bertulis berkenaan juga perlu memaklumkan tempoh masa yang diperuntukkan serta pihak berautoriti yang boleh dirujuk oleh pemegang akaun bagi mengemukakan permohonan rayuan.
“Pendekatan ini menunjukkan komitmen kerajaan dan BNM untuk memperkukuh integriti sistem kewangan negara tanpa mengabaikan hak pengguna,” katanya.
Tambahnya, kerajaan mahu setiap tindakan penutupan akaun dibuat dengan penuh tanggungjawab dan berpaksikan kepada bukti yang kukuh, bukannya sekadar atas syak wasangka semata-mata.
“Langkah penambahbaikan ini bukan sahaja mempertingkat ketelusan dalam sistem kewangan, malah memastikan usaha membanteras pengubahan wang haram tidak menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap institusi perbankan,” ujar beliau.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami