JELI: Kerajaan perlu meneliti secara terperinci sebelum sebarang keputusan dibuat berkaitan cadangan pengambilalihan Sapura Energy Berhad (Sapura Energy) termasuk oleh Petronas .

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamad berkata pelbagai pihak telah memberikan cadangan kepada kerajaan berhubung perkara berkenaan.

"Cadangan tersebut perlu pertimbangkan dengan teliti. Satunya implikasi kewangan, kita cukup faham  industri oil and gas ini.

"Sapura merupakan (antara) syarikat terbesar dunia dalam perkhidmatan minyak dan gas jadi sebarang bantuan kalau tak melibatkan duit kerajaan (sekali pun), Petronas milik kerajaan. Kerajaan kena tengok dengan teliti sebelum buat keputusan, kita sedia maklum banyak industri terjejas," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pecah Tanah Pembinaan Jambatan di Kampung Sungai Nibong, Kuala Balah, di sini hari ini.

Mustapa berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan pengambilalihan Petronas ke atas Sapura Energy.

Cadangan tersebut dikemukakan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak yang meminta supaya Petronas mengambil alih Sapura Energy dalam sesi Debat Perdana bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Khamis.

Debat Perdana | Syor Petronas ambil alih SEB - Najib

BACA: Debat Perdana: Najib syor Petronas ambil alih SEB

Sapura Energy mengalami masalah kemelut hutang ekoran ketidaktentuan industri minyak dan gas kesan pandemik COVID-19.

Mustapa berkata meskipun Sapura antara syarikat gergasi perkhidmatan industri minyak dan gas di dunia, terdapat 4,000 lagi syarikat berkaitan minyak dan gas di negara ini.

Beliau berkata kerajaan juga sedia maklum banyak industri yang terjejas  termasuk industri minyak dan gas.