Kerajaan perlu mempertimbangkan secara serius pembentukan satu tribunal khas bagi melindungi peguam negara daripada dilucutkan jawatan oleh mana-mana pihak.

Pengerusi bersama Jawatankuasa Peguam Muda Kebangsaan Syahredzan Johan berkata tribunal itu sekali gus akan memastikan apa sahaja kes yang disiasat di bawah kuasa peguam negara diselesaikan tanpa sebarang halangan.

Beliau berkata, penubuhan tribunal juga bakal mengukuhkan kepercayaan rakyat kepada sistem penghakiman negara.

"Tanggungjawabnya adalah besar, beliau (peguam negara) harus dibenarkan untuk menjalankan tanggungjawab tanpa rasa takut atau memihak kepada mana-mana pihak, tanpa rasa sebarang keputusan akan memberi kesan kepada jawatannya" katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini, hari ini.

Syahredzan berkata demikian ketika mengulas cadangan Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo yang mahu membentangkan usul bagi mewajibkan penubuhan tribunal ke atas peguam negara.

Namun, katanya, peluang Gobind untuk membentangkan usul berkenaan pada sesi Parlimen depan adalah sangat tipis.

"Gobind tidak akan mendapat peluang untuk membentangkan rang undang-undang ini pada persidangan Parlimen yang akan datang.

"Selalunya, kalau kita lihat Dewan Rakyat sememangnya tak cukup masa untuk sampai ke giliran ke 'private members bill' (usul undang-undang peribadi) kerana biasanya urusan-urusan kerajaan akan menjadi keutamaan," katanya.

Ujarnya, seandainya diberi peluang, Gobind tetap gagal kerana kesukaran mendapat kelulusan.

"Memandangkan ia satu pindaan Perlembagaan Persekutuan, ia perlu dibahaskan dan memerlukan sokongan dua per tiga ahli Parlimen," tambahnya lagi.

Namun, jelas Syahredzan, setakat ini, mengikut perlembagaan, sebarang penukaran peguam negara boleh dilakukan tanpa tribunal.

Gobind sebelum ini dilapor berkata bahawa Artikel 145(6) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan seseorang Peguam Negara tidak boleh dipecat daripada jawatannya kecuali "atas alasan dan mengikut cara yang sama seperti seorang hakim Mahkamah Persekutuan."

Pemecatan itu boleh dilakukan atas alasan penjawat tidak lagi mampu menjalankan fungsi jawatannya "oleh sebab kelemahan tubuh atau akal atau sebab-sebab lain".

Menurut Gobind, daripada peruntukan itu, sebuah tribunal diperlukan untuk menentukan apakah Peguam Negara harus dipecat dan khidmatnya tidak boleh dihentikan begitu saja.