SHAH ALAM: Kerajaan Perpaduan perlu belajar untuk mendengar setiap keluh kesah rakyat dan bukannya menafikan atau menyangkal sesuatu perkara apabila dilontarkan oleh ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman berkata, keadaan itu berbeza dengan zaman pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Katanya, keadaan itu terbukti ketika negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan pandemik COVID-19 melanda apabila keluhan rakyat didengari dan kerajaan menyalurkan pelbagai bantuan terutamanya kepada mereka yang susah.

"Ada orang kata ini masa untuk bekerja, saya setuju tetapi untuk Ahli Parlimen dan ADUN melaksanakan tanggungjawab, Kerajaan Perpaduan perlu mendengar, namun hari ini mereka bukan sahaja tidak mendengar malah menafikan.

"Dewan Perniagaan Melayu ada sebut data kerajaan tidak sama dengan orang bawah mereka kata jualan jatuh sehingga 30 hingga 40 peratus. Hendak bekerja kena mendengar bukan nafi semua benda," jelasnya.

Beliau berkata demikian selaku panelis pada Program Sinar Live bertajuk ‘Ruh ruh ruh, neh neh neh’ di Kompleks Kumpulan Karangkraf yang dihoskan oleh Haizir Othman pada Rabu.

Ditanya mengenai ‘politiking’ dalam politik negara, Syahir memberitahu, pihak pembangkang tidak terlalu banyak melakukan perkara tersebut sebaliknya berbeza di pihak pemimpin daripada kerajaan.

"Yang buat Langkah Kajang dan sebagainya sebelum ini bukan Muhyiddin atau Tok Guru (Tan Sri Abdul Hadi Awang). Jadi tidak boleh kata ‘politiking’ dengan mengambil kerajaan, sebab bagi saya pilihan raya neger (PRN) Sabtu lalu adalah satu signal jelas orang Melayu dan bukan Melayu menolak kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim," ujarnya.

Sementara itu, Syahir menerusi kenyataan dalam laman Facebooknya mengucapkan jutaan terima kasih kepada Sinar Harian kerana memberi peluang kepada beliau untuk mengupas beberapa isu berbangkit.

Katanya, antara isu yang dibangkitkan adalah keputusan pilihan raya negeri (PRN), federalisme, tuntutan royalti minyak, pembangunan ekonomi, perpaduan kaum, rekonsiliasi politik dan watak Menteri Besar baharu.

"Selain itu, isu paling hangat hari ini adalah mengenai Menteri Besar Terengganu pegang portfolio kewangan negeri.

"Kini terserah kepada rakyat untuk membuat penilaian mengenai perkara tersebut," katanya pada Rabu.

Tambah Syahir, beliau diberi peluang untuk menjawab semuanya ketika dijemput sebagai panelis pada program Sinar Live tersebut.

"Saya jawab semuanya, boleh dibincangkan.

"Buah delima bunga selasih, saya ucap terima kasih," ujarnya. - Sinar Harian