Kerajaan mempertimbang langkah mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat-tempat awam di negara ini.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perincian mengenai perkara tersebut akan diumumkan apabila peraturan yang berkaitan dimuktamadkan oleh kerajaan.

“Dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan atau PKPP ini, setiap individu, keluarga dan komuniti adalah petugas barisan hadapan atau frontliners.

“Ahli keluarga dan anggota masyarakat mestilah sentiasa nasihat-menasihati dan ingat-mengingati antara satu sama lain.

“Ibu-bapa mesti sentiasa ingatkan anak-anak supaya sentiasa memakai pelitup muka ketika keluar dari rumah. Ingatkan mereka supaya jaga penjarakan sosial, sentiasa membasuh tangan, elakkan tempat sesak, jangan berjabat tangan dan lain-lain. Ingatkan mereka setiap hari.

“Tak mengapalah kalau dikata berleter pun kerana ini amat penting. Ini kerana kita semua sayangkan keluarga kita,” kata beliau dalam Perutusan Khas Perdana Menteri mengenai PKPP, hari ini.

Jelas beliau, majikan dan pihak sekolah juga perlu memainkan peranan dengan mengingatkan kakitangan dan murid-murid agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Sentiasalah pantau pekerja anda. Letakkan notis atau peringatan mengenai SOP yang perlu dipatuhi di tempat yang mudah dilihat.

“Di sekolah, pengetua, guru besar, guru-guru, pengawas dan ketua kelas perlu memainkan peranan yang lebih proaktif.

“Ingatkan murid-murid dan rakan-rakan anda supaya sentiasa menjaga penjarakan sosial dan patuhi semua SOP yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan,” katanya.