IPOH: Kerajaan Persekutuan telah meluluskan peruntukan berjumlah RM20.26 juta bagi kerja-kerja menaik taraf Jabatan Kecemasan Dan Trauma Hospital Kuala Kangsar, Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini diberitahu.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional negeri A. Sivanesan berkata kerja-kerja pembinaan fizikal telah bermula pada 16 Ogos lepas dan dijangka siap pada 10 Feb 2026.

Beliau berkata projek menaik taraf itu merangkumi keseluruhan komponen dan keperluan Jabatan Kecemasan dan Trauma berserta penambahan peralatan perubatan dan bukan perubatan keperluan jabatan berkenaan.

"Projek ini mampu menyelesaikan isu kesesakan di Jabatan Kecemasan dan Trauma terbabit selain meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada penduduk," katanya pada Persidangan DUN Perak di sini hari ini.

Sivanesan menjawab soalan Azizi Mohamed Ridzuwan (PN-Lubok Merbau) yang ingin tahu perancangan kerajaan dalam menaik taraf perkhidmatan rawatan pakar di Hospital Kuala Kangsar supaya sesuai dengan status Kuala Kangsar sebagai Bandar Diraja.

Sivanesan berkata Sultan Perak Sultan Nazrin Shah semasa berangkat merasmikan Kompleks Wanita, Kanak-Kanak dan Kardiologi Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh pada 6 Feb lepas, menitahkan supaya menyediakan pakar perubatan dalaman terdiri daripada perkhidmatan kepakaran perubatan dalaman di Hospital Kuala Kangsar.

Beliau berkata perkara berkenaan dalam tindakan Bahagian Perkembangan Perubatan dan Bahagian Sumber Manusia Kementerian Kesihatan (KKM).

Menurut Sivanesan pada masa ini Hospital Kuala Kangsar memiliki 431 petugas termasuk 26 petugas kontrak.

Beliau berkata jumlah pesakit yang mendapatkan perkhidmatan di hospital itu pada tahun lepas mengikut purata kedatangan bagi tempoh seminggu ialah seramai 821 orang di Unit Kecemasan dan Trauma, pesakit dalam (210), klinik pakar (182), fisioterapi (31), pesakit cara kerja (17) dan pesakit dietetik (4).

-- BERNAMA