Kerajaan telah memulakan semakan semula Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) bagi memberi gambaran sebenar isu kemiskinan di Malaysia.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kajian yang bermula pada Mac tahun ini turut akan mengambil kira Laporan ‘End of Mission Statements’ oleh Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Prof Philip Alston baru-baru ini.

“Dalam Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11, Kerajaan telah memperkenalkan Indeks Kemiskinan Pelbagai Dimensi (MPI – Multi-Dimensional Poverty Index).

“Ia sebagai pelengkap kepada PGK untuk mengukur dan memantau kemiskinan dalam perspektif pelbagai dimensi yang merangkumi kesihatan, pendidikan, pendapatan dan taraf hidup. MPI ini dilihat lebih inklusif selaras dengan amalan antarabangsa,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR-Port Dickson) yang bertanyakan berkenaan langkah dan tindakan yang diambil oleh Kerajaan berkenaan dengan laporan yang dinyatakan oleh Philip terhadap kadar kemiskinan negara yang kian meruncing.

Menjawab perkara tersebut, Dr Mahathir menjelaskan bahawa kadar kemiskinan rasmi di Malaysia dikira berdasarkan cerapan data Tinjauan Pendapatan Isi Rumah (HIS – Household Income Survey).

“Ia dilakukan mengikut piawaian amalan antarabangsa yang diselenggara oleh Bahagian Statistik PBB (UNSD – United Nation Statistic Division).

“Sehubungan itu, perangkaan kemiskinan daripada HIS masih relevan dan boleh dipercayai pada peringkat penilaian makro.

“Namun, pada peringkat yang lebih mikro seperti negeri atau daerah, perangkaan HIS perlu diguna secara berhati-hati kerana ia tidak menggambarkan corak penggunaan, keperluan serta demografi sebenar isi rumah berikutan ralat persampelan yang tidak boleh dielakkan,” katanya.

Sementara itu, Fahmi Fadzil (PKR-Lembah Pantai) menerusi soalan tambahan turut meminta Dr Mahathir bertanyakan apakah bayangan inisiatif Kerajaan dalam menangani kemiskinan di negara ini.

Dr Mahathir bagaimanapun tidak memberi sebarang indikasi berkenaan apakah yang akan diumumkan Kerajaan dalam menangani kemiskinan pada Belanjawan 2020 yang bakal dibentang pada Jumaat ini.