KUALA LUMPUR: Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Membanteras Gejala Dadah (JKMD) bersetuju dengan cadangan Kementerian Kesihatan untuk meningkatkan kecekapan dan kapasiti makmal patologi bagi menguji dadah dengan peruntukan berjumlah RM230 juta.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi JKMD Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata cadangan itu melibatkan kerja-kerja menaik taraf lapan makmal dadah sedia ada di Kuala Lumpur, Johor, Terengganu, Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak serta menubuhkan enam makmal dadah baharu di Pahang, Perak, Selangor, Melaka, Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata peningkatan keupayaan makmal patologi ini akan memberikan impak positif kepada kelancaran proses pengurusan kes-kes berkaitan dadah oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Polis Diraja Malaysia khususnya dan sistem kesihatan secara amnya.

"Menyedari perubahan trend pengedaran dan penyalahgunaan dadah, naratif baharu Pelan Komunikasi Membanteras Gejala Dadah adalah perlu dilihat semula dengan mengambil kira kos minimum namun memberikan kesan efektif yang tuntas kepada khalayak.

"Profil penyalahgunaan dan penagih dadah serta bahan terlarang untuk 2021 hingga 2023 bagi setiap negeri menunjukkan trend meningkat dan Kempen Antidadah akan dilaksanakan bermula tahun ini hingga 2025 yang berfokuskan kepada matlamat 'Lebih Baik Cegah' dengan mesej 'Pencegahan dadah bermula di rumah' serta menggunakan tagline 'Tak Payah, Tak Nak'," katanya pada sidang media selepas mesyuarat itu di Bukit Aman di sini hari ini.

Hadir sama dalam mesyuarat itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said dan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.

Menurut Ahmad Zahid, mesyuarat JKMD Tahun 2024 ini adalah mesyuarat pertama yang diadakan setelah Arahan Perdana Menteri No. 1 Tahun 2024: Jentera Penyelarasan Pelaksanaan Dasar Membanteras Gejala Dadah diluluskan bagi menggantikan Arahan Perdana Menteri No. 1 Tahun 2004.

"Melalui arahan ini, Mesyuarat Majlis Penyelarasan JKMD yang dipengerusikan oleh Menteri Dalam Negeri ditubuhkan bagi memastikan segala dasar dan keputusan yang dibuat oleh JKMD dilaksanakan dengan penuh komitmen dan berterusan oleh agensi-agensi pelaksana yang berkaitan," katanya.

Beliau berkata mesyuarat turut dimaklumkan bahawa kajian menunjukkan keluarga merupakan faktor pelindung kepada individu daripada terlibat dengan penyalahgunaan dadah.

"Daripada keseluruhan klien Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) tahun 2023 yang berjumlah 75,291 orang, sebanyak 24.1 peratus atau seramai 18,115 orang klien mempunyai ahli keluarga yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah.

"Sehubungan itu, pendekatan program keluarga perlu diperkukuh dengan menggalakkan kefungsian setiap ahli keluarga dan mewujudkan interaksi keluarga yang aktif," katanya.

-- BERNAMA