Kerajaan akan menyumbang 18 juta sarung tangan untuk dihantar ke Wuhan dalam usaha membantu China dalam merawat pesakit koronavirus di negara itu.

Menteri Industri Utama, Teresa Kok berkata, sumbangan itu sebagai tanda simpati dan ikatan budaya Malaysia dan China yang sudah dibina sejak beberapa dekad lalu.

"Seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini bahawa negara akan membantu situasi di Wuhan. Saya gembira untuk memberitahu Majlis Penggalakan Eksport Getah Malaysia (MREPC) dan pengeluar sarung getah di negara ini akan menyumbangkan 18 juta sarung tangan ke Wuhan.

"Syarikat-syarikat ini telah menyatakan persetujuan untuk menyumbang ke arah membantu China semasa pertemuan pada Tahun Baharu Cina baru-baru ini.

"Walaupun mereka masih di dalam minggu bercuti, namun pengurusan syarikat sarung tangan ini melangkah ke hadapan dan menyatakan komitmen masing-masing untuk memastikan kejayaan inisiatif ini," katanya dalam sidang media berkaitan pemberian bantuan sarung tangan getah kepada pekerja kesihatan di Wuhan, China di pejabatnya, pada Jumaat.

BACA: Koronavirus: Jangkitan manusia ke manusia meningkat kepada 9 kes

BACA:
Jumlah kes koronavirus sudah melebihi jangkitan SARS pada 2002-2003

Jelasnya lagi, pada tahun 2014, Malaysia menghantar lebih daripada 20 juta sarung tangan getah perubatan kepada lima negara-negara Afrika iaitu Liberia, Sierra Leone, Guinea, Nigeria dan Congo semasa virus Ebola melanda.

Kata Teresa, Malaysia kini menjadi peneraju dunia dalam sarung tangan dengan kira-kira 180 bilion dieksport ke seluruh dunia.

Pada tahun 2018, eksport sarung tangan Malaysia menyumbang RM17.7 bilion sementara dan mencecah RM18 bilion pada tahun 2019.