Kerajaan akan menambah lagi satu juta dekoder MYTV untuk siaran televisyen percuma MyFreeview selepas mendapat permintaan tinggi penduduk terutama di kawasan luar bandar.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, ia usaha kerajaan untuk memastikan perkhidmatan jalur lebar di semua kawasan berkualiti sekali gus siaran televisyen digital tidak terganggu.

"Sekarang ini permintaan MyFreeview cukup tinggi. Kerajaan telah memohon tambahan sebanyak satu juta lagi (dekoder) untuk kita beri perkhidmatan percuma kepada rakyat, terutama di luar bandar, untuk permintaan itu.

"Walaupun di sesetengah tempat, untuk mendapat siaran MyFreeview ini tidak ada perkhidmatan jalur lebar, kerana capaiannya agak kurang atau kekuatannya tidak sampai. Ia akan ada gangguan. Itu memang kita akui.

"Bagaimanapun, apabila kita cadangkan untuk bagi jaluran 5G, termasuk 700 MHz iaitu spektrum yang dicadangkan, ia akan menjadi lebih baik," katanya di Dewan Rakyat hari ini, menjawab soalan Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh (Pas- Pasir Puteh).

Zahidi menjelaskan, buat masa ini, kementeriannya masih belum menganugerahkan kepada syarikat tertentu untuk menjalankan spektrum 5G.

"Kita harap selepas kita mungkin ia dapat perkhidmatan yang lebih baik," tambahnya.

Nik Muhammad Zawawi meminta kerajaan menyatakan status perkembangan pelaksanaan bagi meningkatkan capaian jalur lebar supaya siaran televisyen digital tidak mengalami gangguan.

BACA: Kerajaan tumpu perkhidmatan jalur lebar luar bandar

VIDEO: Teknologi 5G pemangkin Malaysia menuju status negara maju - PM

BACA: Teknologi 5G tidak mudaratkan kesihatan - Timbalan Menteri Kesihatan

Sebelum ini, Zahidi memaklumkan, lebih 87 peratus kawasan di seluruh negara akan menerima kemudahan capaian internet pada hujung tahun ini.

Jelasnya, ketika ini kerajaan sedang giat menambah baik kemudahan capaian internet di kawasan luar bandar melalui kerjasama dengan syarikat telco tempatan.