MALAYSIA
Kerajaan teliti bina pagar penghadang, pasang lampu di Jalan Sungai Korok - Ahmad Zahid

Ahmad Zahid mengunjungi Putri Qisya Nur Izzat di Kampung Bohor Karang di Jerlun pada Selasa. - Foto Sinar Harian
JERLUN: Kerajaan akan meneliti cadangan untuk membina pagar penghadang dan memasang lampu jalan di Jalan Sungai Korok, Jitra, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Ringkasan AI
- Kerajaan akan meneliti cadangan pembinaan pagar penghadang dan pemasangan lampu jalan di Jalan Sungai Korok, Jitra, susulan tragedi yang meragut enam nyawa sekeluarga.
- Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi komited mempercepat tindakan keselamatan jalan raya, termasuk memaklumkan perkara ini kepada menteri berkaitan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan Jalan Raya.
- Putri Qisya Nur Izzat, anak tunggal yang terselamat, akan dijadikan anak angkat MARA, dengan jaminan bantuan pendidikan sehingga ke peringkat universiti dan sokongan moral daripada kerajaan.
"Secara kebetulan, saya juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan Jalan Raya dan Kesesakan Jalan Raya, dan perkara ini akan saya maklumkan kepada menteri yang berkenaan supaya tindakan segera dapat dilakukan," katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas menziarahi rumah nenek kepada Putri Qisya Nur Izzat Mohamad Azim Izat, 12, di Kampung Bohor Karang, di sini hari ini.
Putri Qisya Nur Izzat merupakan anak sulung kepada pasangan Mohamad Azim Izat Ishak, 32, dan Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31, yang maut bersama empat anak mereka apabila kereta dinaiki dipercayai terbabas ke dalam Sungai Korok, awal pagi Sabtu lepas.
Empat anak mereka ialah Putra Rayyan Nur Izzat, 9, Hawa Adriana Nur Izzat, 8, Annayla Humaira Nur Izzat, 7, dan Tuah Haydar yang berusia enam bulan.
Kesemua jenazah dikebumikan di dalam satu liang di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bohor Karang, di sini malam tadi.
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata Putri Qisya Nur Izzat akan dijadikan anak angkat Majlis Amanah Rakyat (MARA) bagi membantunya meneruskan pelajaran sehingga peringkat universiti.
Beliau turut menitipkan nasihat kepada Putri Qisya Nur Izzat supaya terus tabah dan kuat menghadapi ujian hidup yang amat berat dan menjadi anak yang solehah.
"Saya minta dia sentiasa membaca al-Fatihah dan Yasin untuk dihadiahkan kepada ibu bapa serta adik-beradiknya yang telah pergi. Saya juga galakkan dia untuk belajar bersungguh-sungguh demi masa depannya.
"Insya-Allah, MRSM (Maktab Rendah Sains MARA) bersedia menerimanya tahun depan dan perkara itu turut dipersetujui oleh neneknya. Selain itu, segala bantuan yang diperlukan akan disalurkan dan kita akan ikhtiarkan yang terbaik untuk masa depannya," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami