Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Kerajaan teliti cadangan hukuman sebat bagi kesalahan akaun keldai

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata cadangan itu dikemukakan bagi menangani ancaman sindiket penipuan kewangan yang didapati semakin kompleks. - Gambar fail
Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata cadangan itu dikemukakan bagi menangani ancaman sindiket penipuan kewangan yang didapati semakin kompleks. - Gambar fail

Advertisement

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang meneliti cadangan untuk mengenakan hukuman sebatan sebagai hukuman tambahan bagi kesalahan tertentu yang membabitkan penyalahgunaan akaun keldai.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata cadangan itu dikemukakan bagi menangani ancaman sindiket penipuan kewangan yang didapati semakin kompleks.

"Kementerian mengambil maklum dan bersedia untuk mengkaji semula kesesuaian hukuman sedia ada serta menjalankan penelitian lanjut dari aspek keberkesanan, kesesuaian dan implikasi dalam kerangka perundangan jenayah negara.

"Melihat kepada cabaran yang semakin mencabar ketika ini, penelitian ini akan dilaksana secara menyeluruh melalui libat urus dan penyelarasan bersama pihak-pihak berkepentingan, termasuk Jabatan Peguam Negara (AGC) serta kementerian dan agensi berkaitan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan berhubung kes penipuan pelaburan Triumph FX yang dibangkitkan oleh Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) pada sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat hari ini.

Sementara itu, Shamsul Anuar mendedahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah melaksanakan 100,230 serbuan ke atas pusat panggilan sindiket penipuan dari 2023 hingga Ogos lepas yang membawa kepada penahanan 9,159 individu merangkumi segenap rantaian sindiket.

Beliau berkata daripada jumlah itu, tindakan telah diambil terhadap 36 dalang utama, 74 pengurus, 165 penyelia, 118 individu berperanan sebagai pengurus kewangan atau pengendali akaun keldai, 132 pengatur cara teknologi maklumat (IT) dan 8,409 operator bawahan.

"Bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini sahaja, sebanyak 3,395 serbuan dilaksana dengan 3,128 tangkapan.

“Statistik ini menunjukkan PDRM terus mempergiatkan tindakan penguatkuasaan bagi melumpuhkan keseluruhan rantaian operasi sindiket penipuan ini,” katanya.

Shamsul Anuar berkata pendekatan itu sangat penting bagi memastikan tindakan penguatkuasaan yang dibuat bukan sahaja tertumpu kepada pelaku di peringkat bawahan, tetapi turut menyasarkan pihak yang mengawal, mengurus, dan mendapat manfaat daripada kegiatan jenayah tersebut.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement