KOTA KINABALU: Kerajaan sedang meneliti kesan operasi platform e-dagang terhadap ekosistem perniagaan tempatan termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS), sektor runcit serta industri pos dan kurier.
Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata kementerian mengambil maklum isu berkenaan susulan kebimbangan peniaga mengenai potensi ketidakseimbangan pasaran perniagaan yang dicetuskan oleh platform e-dagang.
Beliau berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah diarahkan untuk menjemput semua platform e-dagang bagi membincangkan perkara itu sebagai langkah awal menangani isu yang timbul.
“Ini adalah langkah pertama... selanjutnya, kita akan mengadakan satu pertemuan antara saya dan Datuk Seri Johari Abdul Ghani bersama dengan platform-platform e-dagang dan juga pemilik-pemilik kedai serta pengusaha-pengusaha PKS yang terjejas,” katanya.
Fahmi berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di Inanam Sentral di sini hari ini, yang turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) merangkap Ahli Parlimen Sepanggar Datuk Mustapha Sakmud.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata perbincangan itu turut memberi tumpuan kepada amalan penjualan produk pada harga terlalu rendah atau di bawah harga pasaran yang berpotensi memberi kesan negatif kepada perniagaan tempatan.
Beliau berkata kerajaan tidak berhasrat menghalang peniaga dan usahawan daripada memanfaatkan platform e-dagang sebagai saluran perniagaan namun pada masa sama, perlu memastikan perkembangan sektor itu tidak memberi kesan buruk terhadap ekosistem ekonomi tempatan.
“Kita tidak menghalang peniaga dan usahawan daripada memanfaatkan platform e-dagang tetapi kita waspada sekiranya ada kesan negatif terutama kepada ekosistem tempatan sama ada sektor jualan, sektor runcit ataupun sektor pos dan kurier,” katanya.
Fahmi berkata isu berkenaan memerlukan pendekatan menyeluruh kerana kesannya bukan hanya melibatkan industri e-dagang sebaliknya turut merentasi sektor perdagangan, peruncitan, perkhidmatan kurier dan perniagaan PKS.
Beliau berkata perkara itu akan diselaras melalui kerjasama MCMC, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Kementerian Kewangan serta Lembaga Hasil Dalam Negeri dan agensi berkaitan.
-- BERNAMA