Skip to main content

Malaysia

Kerajaan terus perkukuh tatakelola, banteras ketirisan wang awam - PM Anwar

Anwar semasa mempengerusikan Mesyuarat JKKTN yang memberi tumpuan kepada usaha membanteras ketirisan wang awam dan salah guna kuasa hari ini.  - Gambar Facebook Anwar Ibrahim
Anwar semasa mempengerusikan Mesyuarat JKKTN yang memberi tumpuan kepada usaha membanteras ketirisan wang awam dan salah guna kuasa hari ini. - Gambar Facebook Anwar Ibrahim

Advertisement

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan terus memperkukuh tatakelola dan integriti perkhidmatan awam bagi membanteras ketirisan wang awam serta salah guna kuasa, khususnya membabitkan Badan Berkanun Persekutuan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu antara yang dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN) yang dipengerusikan beliau hari ini.

“Saya tegaskan bahawa penguatkuasaan undang-undang mesti disertai pembudayaan integriti dan tatakelola baik secara berterusan dalam sektor awam, swasta serta masyarakat,” kata beliau menerusi hantaran Facebook. 

Beliau berkata mesyuarat juga bersetuju supaya kajian undang-undang dilaksanakan bagi merangka dasar, hala tuju tadbir urus serta draf Rang Undang-Undang Khairat untuk mengawal selia entiti amanah dan pendanaan awam.

Anwar berkata langkah itu penting bagi memastikan dana yang diamanahkan diurus secara telus dan bertanggungjawab, selain mesyuarat turut bersetuju dengan cadangan pelaksanaan Pembudayaan Nilai Perkhidmatan Awam.

Pada masa sama, Perdana Menteri berkata dasar bagi Rang Undang-Undang Badan Berkanun dan Entiti Kawalan (Tadbir Urus Kewangan) akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri tahun ini bagi memperkukuh disiplin serta kebertanggungjawaban dalam pengurusan kewangan.

“Mesyuarat juga bersetuju dengan tujuh resolusi yang dibentangkan semasa Persidangan Penyelidikan Tatakelola, Integriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan Kali Kelima pada 25 Sept lepas,” kata beliau.

Anwar berkata Kerajaan MADANI akan terus memperteguh integriti perkhidmatan awam dan menutup ruang ketirisan serta salah guna kuasa.

Beliau berkata setiap ringgit wang awam adalah amanah rakyat yang mesti dijaga dan setiap kuasa yang diberikan mesti digunakan untuk menjamin kesejahteraan rakyat.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement