NATIONAL
Kerajaan terus sokong usaha pemangkin pertumbuhan baharu Johor - PM Anwar

Perdana Menteri yang tiba di Johor pagi tadi berkata beliau menghadiri beberapa perencanaan penting, bermula dengan Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri Johor di Kota Iskandar. - FB Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan akan terus menyokong usaha memastikan infrastruktur dan kemudahan berada pada tahap tertinggi demi memperkukuh keyakinan pelabur serta kejayaan menyeluruh Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) sebagai pemangkin pertumbuhan baharu Johor.
Ringkasan AI
- Sokongan Kerajaan Persekutuan terhadap JS-SEZ: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan komitmen kerajaan dalam memastikan infrastruktur dan kemudahan di Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) berada pada tahap terbaik bagi menarik pelaburan asing.
- Komitmen terhadap tadbir urus cekap: Dalam Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri Johor, beliau menekankan kepentingan pengurusan, kewangan, dan pentadbiran yang berintegriti serta memastikan keselamatan dan kesihatan rakyat dalam pelaksanaan projek.
- Projek pembangunan utama Johor: Kerajaan negeri membentangkan projek berkaitan bekalan air mentah, sistem akses di CIQ, pengoperasian Hospital Pasir Gudang, serta hal ehwal tanah bagi memperkukuh pembangunan di Johor.
Perdana Menteri yang tiba di Johor pagi tadi berkata beliau menghadiri beberapa perencanaan penting, bermula dengan Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri Johor di Kota Iskandar bersama Onn Hafiz dan pimpinan negeri dan Persekutuan.
"Dalam mesyuarat ini, saya tegaskan komitmen terhadap tadbir urus yang cekap dan berintegriti, khususnya dalam aspek pengurusan, kewangan dan pentadbiran.
"Hal ini termasuk soal keselamatan dan kesihatan rakyat dalam pelaksanaan projek yang melibatkan perolehan peralatan dan perkhidmatan.
"Kita perlu menerapkan pendekatan berhikmah dan berfikir di luar kotak agar penjimatan yang dicapai dapat disalurkan kepada keperluan lain yang lebih mendesak, terutamanya dalam bidang kesihatan awam dan pendidikan," kata beliau.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan negeri turut membentangkan projek-projek pembangunan yang menjadi keutamaan di Johor termasuk isu bekalan air mentah, sistem akses di Kompleks Kastam Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar dan Kompleks Sultan Abu Bakar.
"Pembentangan turut melibatkan pengoperasian Hospital Pasir Gudang, hal ehwal tanah serta beberapa projek prapelaksanaan yang sedang dalam perancangan," kata beliau.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami