Kerajaan menolak dakwaan yang menyatakan perhatian utama dalam usaha mencari dan menyelamat tujuh anak Orang Asli yang hilang tidak diberikan dengan sewajarnya.

Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar, Wilayah Dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Ahmad Jazlan Yakob berkata, pihak keselamatan bertugas 24 jam sehari dalam usaha mencari dan menyelamat mangsa yang hilang.

Justeru itu, beliau berkata dakwaan pihak tidak bertanggungjawab tersebut tidak berasas dan tidak masuk akal.

Katanya, sehingga kini, seramai 470 pasukan keselamatan masih berada di lokasi dan gerakan mencari dan menyelamat masih diteruskan.

Katanya, anggota keselamatan yang terbabit dalam operasi itu dibekukan cuti dan keadaan itu menyebabkan mereka terpaksa menyambut Hari Raya Aidiladha dalam hutan baru baru ini.

“Pihak keselamatan kita berhempas pulas dari hari pertama hingga hari ke-49 dengan berusaha mencari dan menyelamat. Ada pihak menangguk di air keruh dengan mengambil kesempatan membuat tuduhan kononnya kata kita tidak serius.

“Kita sudah lakukan yang terbaik. Hampir semua pasukan kita tidak balik pada hari raya. Pihak tentera, bomba, JPAM dan NGO bertungkus lumus mencari mangsa yang hilang,” ujar beliau.

Sementara itu, dua anak Orang Asli yang ditemui pada Jumaat kini berada di Hospital Raja Perempuan Zainab 2 Kota Bharu dan keadaan mereka dilaporkan stabil.

Dalam perkembangan berkaitan, pakar kanak-kanak di hospital berkenaan, Dr Nik Nasirudin Nik Leh, memberitahu bahawa dua kanak-kanak berkenaan dalam pemantauan dan rawatan daripada doktor.

Menurutnya, berat badan mangsa yang sebelum kejadian 25 kilogram kini susut kepada 10 kilogram.

Walaupun keadaan mereka dilaporkan semakin stabil, doktor akan terus memantau beberapa aspek seperti ketahanan tubuh dan jangkitan kuman.

“Mereka juga mengalami dehidrasi. Apabila ditanya, mereka cuma kata minum air sungai dan tidak makan,” ujarnya.

BACA: Ibu kanak-kanak Orang Asli Pos Tohoi gembira dalam tangisan


BACA: Kronologi kehilangan tujuh murid Orang Asli SK Tohoi