PETALING JAYA: Teruja kononnya akan mendapat RM80,000 hasil 'jualan' duit syiling lama, seorang pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) swasta di Damansara terpaksa berputih mata apabila hangus RM5,250 ditipu sindiket penipuan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, pelajar itu mendakwa menerima mesej menerusi Instagram daripada seorang suspek warga asing yang menawarkan RM80,000 untuk membeli lapan keping wang syiling lama tanpa mengira mata wang.

Katanya, suspek kemudian kononnya bersetuju untuk memasukkan sejumlah wang RM80,000 ke dalam akaun mangsa sebaik sahaja pelajar itu menunjukkan wang syiling lama yang dimilikinya menerusi aplikasi WhatsApp.

Beliau memberitahu, mangsa turut memberikan nombor akaunnya kepada suspek bagi 'urus niaga' itu.  

"Pada awalnya, suspek yang mendakwa telah memasukkan wang tersebut, meminta mangsa memasukkan wang sebanyak RM800 sebagai caj transaksi, namun demikian mangsa hanya memasukkan RM100 ke dalam akaun seorang lelaki tempatan dipercayai keldai akaun, atas alasan tidak mempunyai wang sebanyak itu.

"Tidak puas hati dengan jumlah yang dimasukkan, suspek sering kali menghubungi mangsa dan memaksanya memasukkan lagi wang dengan alasan mangsa akan menerima RM80,000," katanya dalam kenyataan di sini, pada Selasa.

Mengulas lanjut Nik Ezanee berkata, terpedaya dengan kata-kata suspek, mangsa yang berusia 18 tahun itu melakukan memasukkan RM5,250 menerusi tujuh transaksi ke dalam akaun yang diberikan suspek.

Beliau memberitahu, mangsa hanya menyedari dirinya tertipu apabila suspek tidak meminta wang syiling daripadanya.

Dia kemudian bertindak membuat laporan polis pada 1 Mac lalu.

Nik Ezanee menasihati orang ramai supaya berhati-hati dalam urusan jual beli supaya tidak mudah tertipu dengan pelbagai muslihat licik penjenayah.

"Tiada urus niaga mudah dalam talian yang boleh membawa keuntungan yang berlipat kali ganda kepada kita," ujarnya.