Seorang lelaki maut apabila kereta yang dipandunya dipercayai hilang kawalan lalu terbabas melanggar sebatang pokok di Kilometer 2, Jalan Bidor - Teluk Intan, berhadapan Taman Megah, di sini, malam tadi.

Siasatan awal mendapati, lelaki tersebut, S. Satiswaran, 28, yang beralamat di Pusing, dekat Ipoh, tidak mempunyai lesen memandu.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Wan Azharudin Wan Ismail berkata, kemalangan berlaku kira-kira 10 malam tadi ketika mangsa, yang memandu kereta Proton Saga dalam perjalanan ke arah Bidor.

“Apabila sampai tempat kejadian, kereta yang dipandu dipercayai hilang kawalan dan melanggar pokok di bahu jalan sebelah kiri,” katanya, hari ini.

Menurutnya, mangsa yang mengalami kecederaan parah telah dibawa ke Hospital Tapah untuk rawatan tetapi disahkan meninggal dunia kira-kira 20 minit kemudian.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.