Kerja merobohkan dan membaik pulih banglo yang terlibat dengan kejadian tanah runtuh di kawasan Puncak Setiawangsa Jumaat lepas dijangka selesai hujung bulan ini.

Ahli Parlimen Setiawangsa Datuk Seri Zulhasnan Rafique berkata perkara itu dimaklumkan pemaju semasa sesi taklimat bersama penduduk.

Bagaimanapun keputusan untuk menduduki semula kawasan tersebut akan ditentukan oleh Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram).

“Mereka boleh memberi keputusan kepada penduduk yang telah keluar rumah tapi keputusan ini juga perlu keputusan daripada Ikram dan Jabatan Cerun Jabatan Kerja Raya (JKR),” kata Zulhasnan.

Jelasnya kerja-kerja pemotongan cerun akan dilakukan selepas proses pemulihan selesai.

Manakala Ikram dan JKR akan bekerjasama untuk membentuk semula cerun mengikut garis panduan pembangunan kawasan bukit.

Bagi tujuan berkenaan beberapa rumah mungkin terpaksa dirobohkan.