KUALA LUMPUR: Bekalan air di 11 kawasan terjejas di Klang mula disalurkan secara berperingkat kepada pengguna pagi ini selepas kerja pembaikan paip pecah di Jalan Seruling 59, Taman Seri Andalas selesai pada 2 pagi tadi.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Elina Baseri berkata bekalan air di kawasan terjejas dijangka pulih sepenuhnya pada 4 petang ini namun tempoh masa pemulihan adalah berbeza, bergantung kepada lokasi dan jarak premis pengguna.

"Air Selangor ingin menyarankan pengguna yang telah dan akan mendapat bekalan air supaya membiarkan pili air mengalir sehingga jernih sebelum digunakan untuk kegunaan harian.

"Air Selangor berharap pengguna yang telah mendapat bekalan air akan menggunakan air secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan di kawasan yang masih terjejas berjalan lancar seperti dijadualkan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Elina berkata bantuan air alternatif melalui lori-lori tangki akan terus digerakkan di kawasan terjejas dengan keutamaan kepada premis kritikal seperti hospital, pusat dialisis dan upacara pengebumian.

Beliau menasihatkan pengguna supaya mematuhi penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka semasa mengambil bekalan air daripada lori-lori tangki disediakan.

-- BERNAMA