KUALA LUMPUR: Kerjasama strategik antara Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan Kementerian Desa dan Wilayah (KKDW) merupakan satu dimensi baharu dalam mengenal pasti serta menyelaras enam bidang tumpuan termasuk infrastruktur, pendidikan dan keusahawanan.

Pengerusi Felda Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata kerjasama itu juga memberi peluang dan manfaat kepada agensi berkenaan untuk menyelesaikan banyak perkara secara bersama dengan KKDW.

"Ini adalah satu dimensi baharu kalau bercakap mengenai pendekatan yang dibuat kerajaan hari ini. Dahulu Felda dianggap satu agensi tersendiri dan semua urusan Felda merujuk kepada Menteri tetapi kali ini, walaupun Felda di bawah Jabatan Perdana Menteri tetapi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim arahkan supaya banyak perkara perlu ada kerjasama antara Felda dan KKDW yang boleh diselaraskan.

"Sebagai contoh, kalau dahulu buat jalan kampung dan masuk kawasan berhampiran Felda, ia akan berhenti di situ sahaja tetapi kalau dapat diselaraskan kerja-kerja ini, takkanlah nak biarkan sahaja kalau Felda tidak punya kemampuan... jadi KKDW boleh datang, kerjasama seperti ini bukan sahaja bagi pembangunan infrastruktur tetapi juga meliputi pendidikan, latihan modal insan dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara bertajuk Kerjasama Strategik Felda dan KKDW yang disiarkan di Bernama TV malam ini.

Pada 9 Jan lepas, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata KKDW dan Felda akan bekerjasama dengan menumpukan kepada enam bidang iaitu pembangunan modal insan, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), pembangunan infrastruktur, keusahawanan, perladangan dan kesiapsiagaan Felda dengan penglibatan bersama Agensi Bencana Negara (NADMA).

Ahmad Shabery juga berkata hala tuju ke arah mewujudkan ekonomi kitaran daripada sawit perlu diwujudkan kerana ia boleh menjana pendapatan baharu buat Felda.

"Bumiputera untuk menjadi kuat tidak boleh lagi dilihat bergantung pada soal dasar atau undang-undang yang bersifat melindungi mereka, ada perkara yang boleh kita buat tetapi untuk terus ke hadapan, ia mesti dilihat mempunyai keupayaan dan boleh berdaya saing dengan semua orang.

"Justeru, dalam beberapa sesi libat urus dalam Kongres Ekonomi Bumiputera, kita sudah mulakan untuk mereka lebih berdaya saing kerana kita sudah ada faedah berbanding, misalnya tanah Felda yang luas hampir 800 hektar, ia bukan lagi dilihat sekadar peluang untuk hasilkan minyak dari buah kelapa sawit sahaja tetapi sisa biomas kelapa sawit boleh dikitar semula sebagai sumber tenaga baharu sekali gus menyumbang kepada ekonomi kitaran," katanya.

-- BERNAMA