GEORGE TOWN: Gangguan bekalan air yang dialami di beberapa kawasan di Bukit Dumbar dan Gelugor, di sini disebabkan kerosakan paip di Jalan Sultan Azlan Shah, di situ sejak petang semalam.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata kerja membaiki paip berukuran 600 milimeter itu telah dijalankan sejak 8 malam tadi.

"Berdasarkan maklumat Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), gangguan bekalan air di kawasan tersebut disebabkan kerosakan paip di situ dan sepatutnya kerja pembaikan siap 8 pagi tadi namun ia terpaksa dilanjutkan hingga 2 petang (hari ini).

"Saya harap orang ramai bersabar dan kami jangka bekalan (air) akan pulih sepenuhnya sebelum Aidiladha esok," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Festival George Town di sini hari ini.

George Town Festival yang diadakan di beberapa lokasi di sekitar George Town membabitkan 80 program antaranya persembahan kebudayaan dan pameran kesenian bermula 9 hingga 24 Julai.

Sementara itu, Chow berkata gangguan bekalan air di Pulau Pinang sejak Rabu lepas telah pulih di kebanyakan lokasi namun beberapa tempat seperti kawasan tinggi dan pengguna di hujung sistem pam paip iaitu di daerah Barat Daya masih terjejas.

Beliau berharap penduduk yang masih mengalami gangguan bekalan supaya bersabar dan pihak PBAPP sedang berusaha memastikan mereka mendapat bekalan sepenuhnya menjelang petang ini.

"Loji Bukit Dumbar di sini telah beroperasi sepenuhnya semalam dan air telah mula disalurkan cuma kawasan tinggi dan di hujung sistem paip sahaja masih belum terima, mungkin sebelum raya esok boleh dapat bekalan," katanya.

Rabu lepas, operasi Loji Rawatan Air (LRA) di Sungai Dua terpaksa dihenti tugas berikutan kadar kekeruhan air mentah (NTU) yang tinggi akibat banjir dan fenomena kepala air di Baling, Kedah Isnin lepas.

LRA itu dihentikan operasi bermula 8 pagi hingga 12 tengah hari dan keadaan tersebut menyebabkan beberapa kawasan di Pulau Pinang mengalami gangguan bekalan air.

-- BERNAMA