Skip to main content

Malaysia

Kertas siasatan dipulangkan, Peguam Negara arah PDRM ambil keterangan Mohd Shuhaily

Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar berkata penelitian terhadap kertas siasatan mendapati beberapa aspek masih memerlukan siasatan lanjut bagi melengkapkan siasatan. - Gambar fail/Bernama
Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar berkata penelitian terhadap kertas siasatan mendapati beberapa aspek masih memerlukan siasatan lanjut bagi melengkapkan siasatan. - Gambar fail/Bernama

Advertisement

Ringkasan AI

  • Jabatan Peguam Negara memulangkan kertas siasatan insiden kekasaran melibatkan Ketua Pengarah AKPS kepada PDRM untuk siasatan lanjut.
  • PDRM diminta melengkapkan siasatan termasuk mengambil keterangan Mohd Shuhaily dan meneliti ketulenan rakaman CCTV serta perkara relevan lain.
  • JPA akan meneliti keputusan Jabatan Peguam Negara sebelum mengambil tindakan, sementara siasatan dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara memulangkan kertas siasatan berhubung insiden kekasaran membabitkan Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.

Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, berkata demikian ketika dihubungi Astro AWANI pada Khamis. 

Beliau berkata, penelitian terhadap kertas siasatan mendapati beberapa aspek masih memerlukan siasatan lanjut bagi melengkapkan siasatan.

"Kita (Jabatan Peguam Negara) minta PDRM untuk ambil keterangan Mohd Shuhaily. Selain itu, antara perkara lain yang perlu diteliti semula ialah ketulenan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) serta beberapa perkara relevan lain," katanya ketika dihubungi, di sini. 

Mohd Dusuki meminta PDRM untuk melengkapkan kertas siasatan itu sesegera mungkin. 

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, berkata Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan meneliti keputusan Jabatan Peguam Negara sebelum sebarang tindakan diambil terhadap Mohd Shuhaily.

Polis sebelum ini memaklumkan seramai 25 saksi sudah dirakam keterangan bagi membantu siasatan kejadian yang berlaku pada 28 September lalu.

Siasatan dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan dengan sengaja melakukan sesuatu perbuatan yang menyebabkan kesakitan, penyakit atau kelemahan tubuh kepada orang lain.

Mohd Shuhaily sebelum ini dalam satu sidang media berkata, beliau menyerahkan kepada kerajaan berhubung sebarang tindakan yang mungkin dikenakan susulan penularan video yang memaparkan beliau memarahi dua individu yang dipercayai anggota polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1.

Must Watch Video

Advertisement