IPOH: Polis menyerahkan semula kertas siasatan mengenai kes pengawal keselamatan yang maut selepas beberapa bulan terlantar akibat diserang penyewa sebuah kondominium di sini kepada Pejabat Peguam Negara.

Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata pihaknya sedang menunggu arahan bagi sebarang tindakan lanjut selepas mendapat keputusan daripada Jabatan Peguam Negara.

"Pihak polis telah merujuk semula kertas siasatan kepada Jabatan Peguam Negara dan pihak pendakwaan telah memberi beberapa arahan untuk dilengkapkan ekoran berlakunya kematian dalam kes tersebut.

"Kertas siasatan kemudian telah dikembalikan semula kepada Pejabat Peguam Negara serta menunggu arahan selanjutnya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas mengenai kenyataan pihak tertentu yang meminta polis menahan semula suspek susulan kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas mangsa meninggal dunia, beliau berkata suspek telah menjalani proses siasatan polis termasuk direman sebelum dituduh di mahkamah mengikut Seksyen 335 Kanun Keseksaan.

BACA: Pengawal keselamatan meninggal dunia, polis klasifikasi semula kes sebagai bunuh

Katanya orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kes itu memandangkan ia masih dalam perbicaraan serta mempercayai sistem kehakiman dan keadilan negara.

Mior Faridalathrash turut menegaskan bahawa polis tidak pernah menggunakan perkataan 'double jeopardy' atau pendakwaan dua kali dalam sebarang kenyataan berkaitan kes itu seperti dilaporkan beberapa portal dan media sosial.

"Kenyataan tersebut sangat tidak tepat, mengelirukan dan seolah-olah ia dikeluarkan oleh pihak polis," katanya.

Pada 27 Ogos lepas, mendiang S. Thava Sagayam, 64, meninggal dunia selepas lama terlantar sakit berikutan diserang seorang lelaki yang tidak berpuas hati kerana mendiang dikatakan cuba menghalang anak lelaki itu daripada menggunakan kolam renang di sebuah kondominium yang tidak dibuka kepada orang ramai pada 29 Dis tahun lepas.

Sebelum ini, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan suspek telah dituduh di Mahkamah Majistret Ipoh pada 6 Jan lepas kerana mendatangkan kecederaan parah serta kes akan disebut semula pada 9 Sept ini.

-- BERNAMA