KUALA LUMPUR: Kertas siasatan berhubung pegawai polis yang ditahan kerana disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol dan melawan arus di Jalan Cheras sudah diserahkan kepada bahagian perundangan Bukit Aman untuk tindakan selanjutnya.

Ketua Polis Daerah Cheras ACP Zam Halim Jamaluddin berkata kertas siasatan itu dihantar pada minggu lepas.

"Kertas siasatan sudah diserahkan dan pihak perundangan Bukit Aman akan meneliti siasatan tersebut bagi tindakan seterusnya," katanya kepada pemberita pada Pelancaran Taman Angkat Amanita di Taman Bukit Cheras di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 4.10 pagi pada 15 Jun lepas, seorang lelaki berumur 35 tahun memandu kereta bersendirian sebelum tindakannya memandu melawan arus disedari sepasukan anggota polis yang kebetulan ada berhampiran.

Zam Halim berkata siasatan mendapati kejadian berlaku selepas waktu kerja anggota terbabit.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan (menghalang tugas penjawat awam) dan Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan mengambil alkohol melebihi jumlah ditetapkan.

Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, polis sedang mengesan dua lagi penjenayah bersenjatakan parang yang melarikan diri selepas dua rakan mereka ditembak mati dalam kejadian di Taman Supreme, Cheras di sini, pada 8 Jun lepas.

Zam Halim berkata kedua-dua suspek sudah dikenal pasti dan sedang giat mengesannya.

"Memang kita (polis) dah ada petunjuk tapi ia masih dalam siasatan. Kita masih belum keluarkan fotofit suspek.

"Kita juga masih menunggu laporan patologi dua suspek yang mati ditembak itu daripada pihak hospital," katanya.

Pada 8 Jun, polis menembak mati dua lelaki berumur lingkungan 30-an disyaki terlibat dalam kegiatan pecah rumah di kawasan perumahan terbabit selepas mereka cuba menyerang polis menggunakan parang manakala dua lagi melarikan diri menggunakan sebuah kenderaan bernombor pendaftaran palsu.

-- BERNAMA